DAP gesa kerajaan Johor tubuh jawatankuasa siasat isu bekalan air, alam sekitar

DAP gesa kerajaan Johor tubuh jawatankuasa siasat isu bekalan air, alam sekitar

Jawatankuasa itu hendaklah mengkaji bagaimana pinjaman sebanyak RM700 juta yang diberikan koleh kerajaan pusat pada tahun 1990-an disalurkan.

AJK DAP JOHOR Dr Boo Cheng Hau berkata, pengurusan aset air negeri itu tidak baik. (Gambar Facebook)
PETALING JAYA:
Ahli jawatankuasa DAP Johor Dr Boo Cheng Hau mengemukakan petisyen kepada speaker Dewan Undangan Negeri supaya ditubuhkan sebuah jawatankuasa terpilih mengenai bekalan air dan alam sekitar untuk menyiasat beberapa isu berkaitan.

Boo berkata, jawatankuasa yang dicadangkan itu hendaklah mengkaji bagaimana pinjaman sebanyak RM700 juta yang diberikan kepada kerajaan negeri oleh kerajaan pusat pada tahun 1990-an disalurkan.

“Menurut Laporan Ketua Audit Negara 2017, kerajaan negeri masih berhutang dengan kerajaan pusat sebanyak RM334.51 juta dalam bentuk “hutang lapuk” projek naik taraf bekalan air SAJ (Syarikat Air Johor) selama 25 tahun ini.

“Aset SAJ bernilai RM3 bilion dijual kepada Pengurusan Aset Air Bhd (PAAB) pada harga RM4 bilion. Ke manakah lebihan RM1 bilion itu disalurkan bagi penyelesaian hutang dengan kerajaan pusat?,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Boo berkata, jawatankuasa yang dicadangkan itu hendaklah menyiasat kenapa Ranhill SAJ Sdn Bhd tidak membayar apa-apa dividen kepada kerajaan Johor atas pelaburannya dalam syarikat itu dari 2013 ke 2017.

Ia juga perlu melihat kelemahan dalam sistem pengurusan aset air yang menyebabkan kerugian air tidak berhasil (NRW) Ranhill SAJ mencecah 24.12% pada 2018, sekali gus mencadangkan bagaimana sistem pengurusan tersebut boleh diperbaiki.

Katanya, jawatankuasa tersebut juga perlu menyiasat kenapa banyak kawasan tadahan air, termasuk di Empangan Sembrong, tidak digazetkan sebagai kawasan perlindungan.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.