‘Muwathin’ lebih baik berbanding ‘kafir’, kata Mujahid

‘Muwathin’ lebih baik berbanding ‘kafir’, kata Mujahid

'Muwathin' bermaksud warganegara yang mempunyai hak dan kewajipan sama seperti umat Islam.

Lukisan grafiti di dinding bangunan di Jakarta melabelkan bekas gabenor Jakarta Basuki Tjahaja Purnama sebagai ‘kafir’. (Gambar AFP)
PETALING JAYA:
Menteri di Jabatan Perdana Menteri yang menjaga hal ehwal Islam menggesa satu perbincangan dibuat berhubung penggunaan perkataan “kafir” apabila umat Islam merujuk orang bukan Islam.

Mujahid Yusof Rawa memberitahu FMT, beliau percaya adalah wajar ulama tempatan membincangkan perkara itu dalam konteks pembangunan negara.

Katanya, Amanah, yang mana beliau juga naib presidennya, mengadakan perbincangam mengenai perkara tersebut dan mereka merasakan perkataan “muwathin” lebih sesuai digunakan apabila merujuk kepada bukan Islam.

Beliau berkata demikian susulan pertubuhan Islam terbesar di Indonesia, Nahdlatul Ulama menggesa penggunaan istilah kafir dihentikan, bagi merujuk golongan bukan Islam dalam isu berkaitan kewarganegaraan atau negara.

Nahdlatul Ulama yang mempunyai kira-kira 140 juta ahli, menerusi persidangan nasionalnya baru-baru ini berkata, orang bukan Islam tidak perlu dilabel kafir kerana mereka mempunyai kedudukan sama dalam hal ehwal negara.

Setiausaha Lembaga Bahtsul Masail Nahdlatul Ulama Jawa Timur, Ahmad Muntaha berkata, persidangan itu merumuskan orang bukan Islam digelar “muwathin” atau warganegara yang mempunyai hak dan kewajipan sama seperti umat Islam di Indonesia.

“Saya rasa sudah sampai masanya kita bincang isu ini dalam kerangka kewarganegaraan,” kata Mujahid, sambil menambah ia patut dibincang dalam konteks pembangunan negara.

Kenyataannya tidak selari dengan pendirian Mufti Perak, Harussani Zakaria dan Mufti Pahang, Abdul Rahman Osman yang menegaskan istilah kafir bagi merujuk orang bukan Islam masih digunakan di Malaysia dan ia juga ada disebut dalam Al-Quran dan hadis.

Sementera itu, aktivis sosial Chandra Muzaffar turut mengalu-alukan pendirian Nahdlatul Ulama, tetapi tidak yakin ulama Malaysia sedia mencontohinya dalam perkara tersebut.

Beliau berkata, pendidikan awam diperlukan untuk memperkenalkan konsep penghargaan “kewarganegaraan biasa”.

Menurutnya, “kafir” sering digunakan dalam Al-Quran bagi merujuk kepada seseorang yang tidak bersyukur dengan nikmat hidup.

Manakala, kumpulan aktivis Sisters in Islam (SIS) turut mengalu-alukan gesaan Nahdlatul Ulama dan berpendapat “naratif supremasis dan eksklusivis” daripada pemimpin politik dan agama menghalang perkataan lain digunakan untuk menggantikan “kafir” di Malaysia.

“Seruan Malaysia dalam penggunaan Rahmatul lil ‘Alamin masih belum bergema dalam kalangan pemimpin politik dan agama kita,” kata Pengarah Eksekutif SIS, Rozana Isa.

“Disebabkan itu, Malaysia ketinggalan jauh di belakang Indonesia dalam mempengaruhi secara aktif perbincangan yang inklusif dan menyeluruh berhubung dengan harmoni, perpaduan dan kesaksamaan.

“Kita menunggu untuk mempelajari daripada perbincangan membina pihak Indonesia dan berharap ini akan memberi keyakinan kepada kita di Malaysia untuk memahami dan menghargai apa maksud mempunyai kesaksamaan sebagai warganegara Malaysia dan manusia,” katanya.

Penulis novel dan pakar sejarah, Faisal Tehrani berkata, beliau tidak menyokong penggunaan perkataan “kafir” terhadap orang bukan Islam, tetapi menggunakannya terhadap mereka yang “tiada moral, integriti dan etika”.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.