‘Ku Nan kekal setiausaha agung BN, lantikan Nazri tak diperakui’

‘Ku Nan kekal setiausaha agung BN, lantikan Nazri tak diperakui’

Timbalan Pengerusi BN, Mohamad Hasan berkata, Tengku Adnan Tengku Mansor tidak pernah meletak jawatan sebagai setiausaha agung gabungan itu.

Mohamad Hasan (2 dari kiri) bersalam dengan Tengku Adnan Tengku Mansor (2 dari kanan) sebelum mesyuarat Dewan Tertinggi BN bermula di Pusat Dagangan Dunia Putra, hari ini.
KUALA LUMPUR:
Timbalan Pengerusi BN, Mohamad Hasan mengumumkan Tengku Adnan Tengku Mansor kekal sebagai setiausaha agung BN kerana pelantikan Nazri Aziz tidak diperakui gabungan berkenaan.

“Sehingga kini, Tengku Adnan masih kekal sebagai setiausaha agung kerana beliau tidak pernah meletak jawatan.

“Pelantikan Nazri sebagai setiausaha agung BN sebelum ini tidak diperakui kerana tiada konsensus antara parti komponen BN,” katanya selepas mempengerusikan mesyuarat Dewan Tertinggi BN di Pusat Dagangan Dunia Putra, hari ini.

Tengku Adnan yang lebih dikenali sebagai Ku Nan menyandang jawatan setiausaha agung BN sejak 2009.

Isnin lalu, MCA dan MIC dalam satu kenyataan bersama, mengugut akan meninggalkan BN kerana tidak berpuas hati dengan kenyataan Nazri yang berbaur “perkauman” kerana mempersoalkan pelantikan orang bukan Islam ke jawatan penting seperti peguam negara dan ketua hakim negara.

Dua parti itu turut menggesa BN mengadakan mesyuarat peringkat tertinggi untuk membincangkan masa depan gabungan itu, dengan syarat Nazri tidak hadir.

Presiden MCA, Wee Ka Siong dan Presiden MIC, SA Vigneswaran dilaporkan berkata, kesahihan mesyuarat hari ini akan dipertikaikan kerana pelantikan Nazri ke jawatan itu tidak mengikut perlembagaan BN.

Hari ini, Nazri tidak menghadiri mesyuarat itu seperti dinyatakannya Rabu lalu untuk memberi peluang MCA dan MIC membangkitkan isu pelantikannya.

Mohamad berkata, BN bersetuju pelantikan Tengku Adnan akan kekal sehingga ahli Parlimen Putrajaya itu meletak jawatan atau pelantikan baru dibuat.

“Dalam BN, ia (pelantikan sesuatu jawatan) mesti dibawa ke dalam mesyuarat, dicadang dan disokong dengan konsensus.”

Nazri dilaporkan dilantik sebagai setiausaha agung BN menggantikan Tengku Adnan, berkuat kuasa September 2018.

Nazri berkata, pelantikan itu hanya diumumkan Pengerusi BN, Ahmad Zahid Hamidi dalam perasmian Perhimpunan Agung MIC di Pusat Dagangan Dunia Putra, pada 27 Oktober lalu.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.