
Katanya, sambutan itu yang merupakan “detik bersejarah” akan bermula tahun ini.
“Kita ada Hari Guru sebagai tanda memperingati sumbangan para guru. Jadi, saya cadangkan kita adakan satu hari sambutan untuk pensyarah-pensyarah universiti.
“Saya mencadangkan kita adakan sambutan Hari Akademia Malaysia, kita pilih satu tarikh yang khas, mungkin sempena Hari Guru Antarabangsa yang diadakan pada 5 Oktober,” katanya ketika berucap pada Program Bicara Menteri Bersama Kongres Persatuan Akademik Malaysia dan Pegawai-Pegawai Pendidikan Sabah di sini, hari ini.
Di Malaysia, Hari Guru disambut setiap 16 Mei.
Maszlee berada di Sabah untuk lawatan kerja 2 hari bagi melihat keadaan dan persekitaran sekolah.
Beliau yang sebelum ini merupakan pensyarah Universiti Islam Antarabangsa Malaysia berkata, mendidik ialah tugas mulia.
“Suka untuk saya nyatakan terima kasih saya kepada para pendidik, di universiti mahupun di sekolah, di bandar mahupun di desa, kerana berada dalam profesion ini dan dengan ikhlas mendidik dan membentuk pelajar-pelajar kita menjadi manusia yang berketerampilan, berperibadi unggul dan sekali gus menjadi harapan negara di masa hadapan.
“Teruskanlah mendidik. Mendidik ialah tugas yang paling mulia. Malala Yousafzai pernah menyebut ‘One child, one teacher, one book, one pen can change the world’.”
Turut hadir Ketua Pengarah Pelajaran, Amin Senin, Menteri Pelajaran dan Inovasi Sabah, Yusof Yacob dan Naib Canselor Universiti Malaysia Sabah, D Kamaruddin D Mudin.