
Timbalan Presiden Institut Ejen dan Perunding Hartanah Profesional Malaysia, See Kok Loong berkata, bank bertindak tegas untuk membatalkan permohonan pinjaman jika individu mempunyai rekod penggunaan kad kredit yang tinggi.
“Penggunaannya (kredit kad) adalah satu isu mengapa pinjaman tidak diluluskan,” katanya kepada FMT.
Beliau menjawab persoalan mengapa permohonan pinjaman hartanah seperti pembelian rumah ditolak oleh bank meskipun bilangan rumah yang tidak terjual dilihat semakin meningkat.
Sebelum ini, FMT melaporkan seorang suri rumah menerjah sidang media pelancaran Skim FundMyHome-DepositKu di Semenyih, minggu lalu dan kemudiannya mendapat perhatian Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan Zuraida Kamaruddin.
Hafiza Abdul Rahman, 34, yang meluahkan kesedihannya berkata, beliau sudah 15 kali memohon bagi mendapatkan pinjaman perumahan sejak 10 tahun lepas namun tidak pernah mendapat kelulusan.
Mengulas lanjut, Kok Loong berkata, kumpulan B40 iaitu golongan yang memiliki pendapatan isi rumah sebanyak RM3,855 ke bawah berdepan kesukaran untuk mendapatkan rumah sendiri.
“Secara asasnya, B40 tidak akan mendapat pinjaman rumah daripada bank komersial kerana pendapatan mereka yang sangat rendah,” katanya, sambil menambah keadaan itu berbeza dengan kumpulan M40 (pendapat isi rumah dari RM3,860 hingga RM8,319)
“Kumpulan itu lebih mudah mendapatkan pinjaman perumahan dengan bank komersial.
“Terutamanya jika mereka bekerja dalam sektor korporat dan swasta,” katanya.
Sementara itu, seorang pekerja swasta yang mahu dikenali sebagai Ash berkata dia memilih untuk menyewa berbanding memiliki rumah sendiri.
“Orang baru bekerja kurang daripada setahun seperti saya susah untuk mendapatkan pinjaman perumahan. Perkara itu menyebabkan saya berhenti memohon.
“Menyewa lebih baik dan berpatutan,” katanya ketika dihubungi FMT.
Seorang konsultan kewangan, Mohd Hafidz berkata, dia tidak memohon pinjaman perumahan kerana harga rumah di kawasan Lembah Klang sangat tinggi.
“Sudah semestinya saya tidak mampu dan permohonan ditolak.”