Pekerja ladang sawit ‘ditengking’ perkara lumrah, kata pengerusi Felcra

Pekerja ladang sawit ‘ditengking’ perkara lumrah, kata pengerusi Felcra

Nageeb Abdul Wahab mempertahankan tindakan Khairi Mahamor dengan menyifatkan ia tidak serius dan mungkin COO itu terlalu ghairah membuat perubahan sehingga 'terlepas'.

Nageeb Abdul Wahab (2 dari kiri) dalam sidang media di Wisma Felcra hari ini berkata, kejadian COO menengking kakitangan Felcra dan pekerja ladang sawit akan dibawa ke mesyuarat lembaga pengarah esok.
KUALA LUMPUR:
Pengerusi Felcra, Mohd Nageeb Abdul Wahab hari ini mempertahankan tindakan Ketua Pegawai Operasinya (COO), Khairi Mahamor menengking pekerja ladang sawit dengan menyifatkannya lumrah dalam industri perladangan.

“Kalau anda biasa kerja di ladang, ini (tengking) normal. Mungkin cara dia tidak sesuai dengan penerimaan (masyarakat) sekarang, tetapi kita tidak mengatakan bahawa kita betul.

“Pada saya, perkara ini tidak serius. Mungkin dia terlalu ghairah untuk membuat perubahan sehingga terlepas. Tidak ada perkataan lucah dikeluarkan, kami akan menyelesaikannya,” katanya dalam sidang media di Wisma Felcra hari ini.

Dalam satu klip video selama 1.03 minit yang berlatar belakangkan ladang sawit, Khairi dilihat menjelaskan penggunaan semula beg baja, sebelum meninggikan suaranya.

“Kamu semua nak ambil jalan mudah, semua nak ikut orang. Orang cakap apa, ikut saja, tak pernah nak lawan. Terangkan, bukan duduk ‘office’,” katanya dalam nada tinggi.

“Kalau tong racun itu kamu basuh, ikut peratusan dia, kami boleh pakai balik, apatah lagi beg baja. Apa dosa dia? Tong racun kalau cuci boleh pakai, apatah lagi beg baja,” katanya memarahi kakitangan Felcra dan pekerja ladang milik anak syarikat kerajaan itu.

Felcra kemudian menjelaskan di Twitternya, kejadian itu berlaku ketika sesi latihan di ladang sempena siri kembara di Felcra Berhad Projek Kampung Serambi di Pekan, Pahang, 2 Mac lalu.

Nageeb berkata, pihaknya akan membawa isu itu ke mesyuarat lembaga pengarah esok.

“Tindakan selanjutnya akan dipertimbangkan dan keputusan juga akan dibuat secara dalaman.”

Henti rundingan sawit dengan EU

Dalam perkembangan lain, Nageeb berkata, 4 agensi pengeluar sawit negara Felcra, Fleda, Risda dan Persatuan Kebangsaan Pekebun Kecil Malaysia mendesak kerajaan menggantung sementara segala rundingan atau aktiviti perniagaan membabitkan minyak sawit dengan Kesatuan Eropah.

Ia bertujuan menuntut EU menamatkan sekatan ke atas produk minyak sawit berkuat kuasa 2030.

Beliau menjelaskan, 4 agensi tersebut membuat keputusan bersama kerana Malaysia selama ini terlalu berdiplomasi dalam rundingan dengan EU.

“Kita sudah buktikan minyak sawit adalah baik, lestari dan tidak memusnahkan hutan dan mencemar alam sekitar namun tiada siapa pun dengar suara kami.

“Hanya satu jalan saja untuk desak EU menarik balik sekatan minyak sawit dengan menggunakan desakan ekonomi dan politik,” katanya.

Industri minyak sawit berdepan kritikan meluas dalam beberapa tahun kebelakangan ini kerana dikaitkan dengan penebangan hutan dan sering dituduh menjadi punca jerebu.

Parlimen EU meluluskan resolusi memboikot penggunaan produk minyak sawit yang dihasilkan menerusi cara tidak mampan menjelang 2030.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.