Tiada lagi isu jari kuning, mesin kupas kunyit dicipta

Tiada lagi isu jari kuning, mesin kupas kunyit dicipta

Kunyit sinonim dengan ‘jari akan kuning’ namun masalah selesai dengan terciptanya mesin kupas dan mencuci

Bila dengar perkataan kunyit sudah pasti kita akan mula terfikir “habislah jari akan jadi kuning”.

Bagaimanapun masalah ‘jari kuning’ tidak lagi akan menghantui apabila 2 pensyarah Kolej Komuniti Jerantut (KKJ) mencipta alat mengupas dan mencuci kunyit menggunakan mesin pengisar dan berus.

Inovasi terbaru hasil ciptaan Norsuzilawate Zulkapli, 37, dan Osman Zolkifli, 37, ternyata bakal memudahkan kerja suri rumah dan pengusaha kedai makan dan pada masa yang sama menjimatkan masa mengupas dan mencuci kunyit berbanding kaedah manual menggunakan tangan.

Norsuzilawate yang juga Pegawai Penyelidikan dan Inovasi KKJ, berkata ramai suri rumah dan pengusaha kedai makan menggunakan kunyit setiap hari dalam masakan dan terpaksa mengambil masa lama untuk mengupasnya apatah lagi dalam kuantiti yang banyak.

“Menerusi mesin ini, kerja mengupas dan mencuci kunyit dalam kuantiti yang banyak menjadi lebih mudah, menjimatkan masa berbanding menggunakan pisau untuk menanggalkan kulit kunyit.

“Mesin ini juga mesra pengguna dan mampu membersihkan kulit kunyit sepenuhnya dengan cepat sekitar 15 saat sahaja bagi 300 gram kunyit berbanding secara biasa mengambil masa kira kira lima minit,” katanya memetik laporan media.

Rakannya yang juga Pegawai Keusahawanan KKJ, Osman berkata, kos mesin itu hanyalah sekitar RM100 sahaja apabila ia hanya menggunakan mesin pengisar biasa dan diubahsuai bahagian mata pengisar dan diganti dengan berus.

Tambahnya, mereka mengambil masa seminggu untuk mencari idea dan mencipta mesin berkenaan yang mampu dimiliki suri rumah, peniaga kedai makan yang banyak menggunakan kunyit.

“Mereka hanya perlu memasukkan kunyit ke dalam mesin ini dan dicampur sedikit air. Berus yang berpusing itu akan menanggalkan kulit kunyit dengan cantik tanpa sebarang pembaziran.

“Mesin yang mesra pengguna ini boleh juga digunakan untuk mengupas dan mencuci lengkuas dan halia.

“Kami akan mengubahsuai mesin ini dari masa ke semasa agar lebih baik dan menepati kehendak pengguna,” katanya.

Anda ada berita menarik untuk dikongsi? Sila email ke [email protected]

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.