
Sri Lanka kini berdepan krisis tidak disangka akibat Covid-19 – kekurangan bekalan ibu kunyit, yang menjadi bahan penting untuk masakan penduduk di negara itu.
Dengan kekurangan pelaburan asing akibat wabak melumpuhkan industri pelancongan, kerajaan pada Mac memperkenalkan larangan beberapa produk import untuk mengelak wang dibelanjakan ke luar negara untuk membayar hutang antarabangsa bernilai USD4.5 bilion tahun ini.
Kereta, jubin lantai dan bahagian jentera antara barangan tersenarai, namun larangan import kunyit yang paling mencetuskan kemarahan penduduk pulau itu.
Hanya satu perlima daripada 7,500 tan kunyit digunakan penduduknya dihasilkan di negara itu. Susulan itu, sejak pandemik harganya meningkat sehingga 20 kali ganda sehingga 9,000 rupee (RM186) sekilo iaitu bersamaan pendapatan seminggu untuk orang biasa di Sri Lanka.
“Kari kami tidak lagi lazat sejak wabak ini. Tak pernah disangka kunyit boleh menjadi isu besar sebegini, sekarang untuk menggunakannya dalam masakan harian pun kami tak mampu,” kata pekerja kesihatan Prarthana Weerasinghe.
Katanya, kebanyakan kunyit dijual di pasaran sekarang bukan asli menyebabkannya tidak lagi menggunakan bahan itu kerana bimbang menjejaskan kesihatan.
Pegawai kastam baru-baru ini menemui 25 tan kunyit diseludup ke negara itu dari India dalam kontena dilabel ‘bawang’, manakala rondaan tentera laut turut merampas beberapa tan daripada nelayan India.
Lebih memilukan bagi rakyatnya apabila kunyit yang dirampas itu kemudian dibakar di rumah mayat kerana pihak berkuasa tidak mahu lambakannya dalam pasaran seterusnya menjejaskan harganya.
Sebaliknya, kerajaan berkata mahu mempromosikan kunyit tanaman tempatan.
Anda ada berita menarik untuk dikongsi? Sila email ke [email protected]