Tak akan mohon maaf, wakil rakyat DAP beritahu Rahim

Tak akan mohon maaf, wakil rakyat DAP beritahu Rahim

Ahli Parlimen Kota Melaka, Khoo Poay Tiong menafikan dakwaan 'fitnah' dan 'niat jahat' dalam surat tuntutan Rahim Thamby Chik.

Ahli Parlimen Kota Melaka, Khoo Poay Tiong (Gambar Bernama)
PETALING JAYA:
Ahli Parlimen Kota Melaka, Khoo Poay Tiong tidak akan memohon maaf kepada bekas ketua menteri Rahim Thamby Chik berhubung kenyataan yang dianggap fitnah.

Rahim menuntut permohonan maaf secara terbuka, pampasan RM1.5 juta dan menarik balik kenyataan di mana Khoo memberi amaran kepada PPBM berhubung permohonan masuk bekas pemimpin Umno itu ke dalam parti itu.

“Saya tidak akan memenuhi mana-mana tuntutan Rahim. Saya menafikan semua dakwaan fitnah dan niat jahat yang dibuat di dalam surat tuntutan tersebut.

“Saya akan mengarahkan peguam cara saya untuk menjawab surat tersebut,” katanya.

Khoo berkata permohonan masuk Rahim ke dalam PPBM ialah isu berkepentingan awam kerana ia menimbulkan persoalan terhadap kredibiliti dan integriti Pakatan Harapan.

“Sebagaimana yang telah saya nyatakan sebelum ini, saya mempunyai tanggungjawab sebagai seorang wakil rakyat untuk menyuarakan kebimbangan rakyat terhadap isu seperti ini,” katanya.

Beliau hairan Rahim membuat keputusan memulakan tindakan undang-undang 2 bulan selepas kenyataannya.

“Adakah Rahim teragak-agak dan mengambil masa yang begitu lama kerana tidak mahu menjejaskan peluangnya untuk menyertai PPBM?

“Adakah ini bermakna permohonannya untuk menyertai PPMB telah ditolak dan oleh itu Rahim Thamby Chik telah bebas untuk menyaman saya?” katanya.

Khoo menyeru PPBM mengambil maklum tindakan Rahim terbaru ini dan menilai sama ada bekas pemimpin Umno itu sesuai menyertai PH.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.