
Ia susulan laporan media mengatakan bantuan bekalan diesel itu akan dihentikan selepas akhir bulan depan.
KPM berkata, pihaknya akan memastikan bekalan diesel ke sekolah terlibat tetap diteruskan bagi menjamin operasi sekolah tidak terjejas.
“Oleh itu, laporan yang mengatakan sekolah-sekolah terbabit akan terputus bekalan diesel mulai April 2019 adalah tidak benar,” kata KPM dalam kenyataan hari ini.
Sabtu lalu, Menteri Pendidikan, Sains dan Penyelidikan Teknologi Sarawak, Datuk Seri Michael Manyin Jawong dilaporkan berkata, pihaknya yakin KPM akan terus menyediakan bekalan diesel kepada 21 sekolah Cina dan mubaligh di negeri itu.
Katanya, beliau sudah membuat rayuan itu kepada Menteri Pendidikan, Maszlee Malik dalam pertemuan di Putrajaya Jumaat lalu.
“Setakat ini, respons adalah positif dan saya sangsi kerajaan persekutuan akan menghentikan bantuan bekalan diesel kepada sekolah-sekolah ini,” katanya.
KPM berkata, pada Mac tahun lepas, semakan semula kontrak dibuat mereka bagi menentu sahkan sekolah yang layak mendapatkan bekalan diesel menggunakan peruntukan kerajaan.
“Didapati 21 daripada 369 sekolah tersebut merupakan SBK,” katanya.
Tetapi, KPM memutuskan untuk meneruskan bekalan diesel bagi 21 sekolah tersebut menggunakan peruntukan sedia ada sehingga Mac ini.
“Ini memandangkan 21 sekolah tersebut terletak di kawasan pedalaman yang tidak mendapat bekalan elektrik awam daripada talian grid.
“Sehubungan ini, bagi memastikan operasi sekolah tidak terjejas, KPM akan memastikan bekalan diesel ke sekolah-sekolah terlibat tetap diteruskan.”