
“Kenderaan ultiliti sukan X70 terbukti menjadi jualan terlaris dan satu daripada prestasi terbaik Proton setakat ini,” kata Mohammad Hafidz SH, seorang pengurus teknologi maklumat, rangkaian dan pemasaran media bagi pihak sebuah pengedar hari ini.
Proton mendaftarkan jualan sebanyak 7,007 unit pada Januari 2019, dengan X70 penyumbang penting dalam meningkatkan prestasi jualan.
Hafidz berkata pengedar yang menaik taraf pusat servis kepada 3S dan 4S kini meraih pelbagai manfaat, termasuk jualan menggalakkan X70.
Kemunculan SUV itu memberi mengangkat jenama Proton dan keyakinan pelanggan terhadap pengeluar kereta tempatan itu setanding dengan pengeluar kenderaan global yang lain.
“Proton sedang memperbesarkan kilangnya di Tanjung Malim untuk mengeluarkan X70 di Malaysia, untuk pasaran tempatan dan ASEAN. Jadi, ini memberikan kami potensi untuk berkembang di rantau ini,” kata Hafidz.
Perkongsian Proton-Geely yang membawa kepada perjanjian usaha sama membuka pintu kepada pengeluar kereta Malaysia itu untuk menembusi China, yang merupakan pasaran kenderaan terbesar di dunia.
Pengurus Servis Neoh Eu Gene berkata, kelebihan ketara bagi pembeli X70 adalah mereka kini yakin untuk menghantar kenderaan menjalani servis di pusat 3S dan 4S.
Proton setakat ini mempunyai 74 pusat 3S dan 4S di seluruh negara yang menepati standard baharu dan imej korporat syarikat. Pusat 3S menawarkan khidmat jualan, servis dan alat ganti manakala pusat 4S pula memasukkan perkhidmatan badan dan cat.
“Di samping dapat mempamerkan model baharu akan datang, pusat servis 3S dan 4S yang luas dan selesa beroperasi sebagai pusat sehenti dari saat kereta dijual dan sepanjang hayat penyenggaraannya,” katanya.