Kaukus Parlimen cadang tubuh RCI siasat dakwaan salah laku hakim

Kaukus Parlimen cadang tubuh RCI siasat dakwaan salah laku hakim

Timbalan Pengerusi Kausus Reformasi dan Urus Tadbir Dewan Rakyat, Lim Kit Siang berkata, RCI itu perlu bagi memelihara integriti dan kebebasan badan kehakiman negara.

(Gambar Reuters)
KUALA LUMPUR:
Kausus Reformasi dan Urus Tadbir Dewan Rakyat mencadangkan Suruhanjaya Siasatan Diraja (RCI) ditubuhkan segera untuk menyiasat dakwaan salah laku beberapa hakim kanan negara.

Timbalan Pengerusinya, Lim Kit Siang berkata, ia perlu bagi memelihara integriti dan kebebasan badan kehakiman negara.

“Pihak kaukus turut bersama masyarakat Malaysia amnya, amat mengambil berat hal ini atas nama menjaga institusi kehakiman negara,” katanya selepas menghadiri mesyuarat kaukus itu di bangunan Parlimen semalam.

Mesyuarat itu dikendalikan pengerusinya, Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Minggu lalu, Hakim Mahkamah Rayuan, Datuk Hamid Sultan Abu Backer dalam afidavit sokongan setebal 63 halaman mendakwa berlaku campur tangan dalam kes mahkamah membabitkan salah laku hakim Mahkamah Rayuan dan Mahkamah Persekutuan.

Ia termasuk keputusan rayuan kes hasutan bekas pengerusi DAP dan Ahli Parlimen Bukit Gelugor, mendiang Karpal Singh.

Jumaat lalu, Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad dilaporkan berkata, kerajaan akan mengkaji sebarang cadangan menubuhkan RCI terhadap dakwaan salah laku badan kehakiman itu.

Sementara itu, mengulas mesyuarat itu, Anwar berkata, mesyuarat itu membincangkan cadangan Bersih berhubung proses pilihan raya dan penubuhan jawatankuasa bersama Dewan Rakyat dan Dewan Negara.

Beliau berkata, mesyuarat seterusnya akan membincangkan beberapa perkara, antara lain, isu kemiskinan bandar dan desa serta kos sara hidup.

“Kita akan memanggil wakil Kementerian Kewangan dan Unit Perancangan Ekonomi bagi membincangkan perkara ini pada mesyuarat berkenaan.”

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.