
Ini terkandung dalam surat ke pejabat Ahli Parlimen Subang Jaya Wong Chen bertarikh Jan 28 lalu, yang dimuatnaik di Facebook hari ini.
Penutupan itu susulan usaha untuk penjenamaan semula atau penutupan 346 K1M di seluruh negara.
“Penutupan ini tidak akan jejaskan akses penduduk Subang Jaya kerana mereka masih boleh terima kemudahan rawatan di klinik kesihatan kerajaan Taman Medan, yang hanya 3km dari K1M USJ1 itu.
“Untuk jangka panjang, kementerian telah kenal pasti tapak untuk klinik kesihatan di USJ1,” katanya.
Mengenai kontrak kakitangan di K1M itu, Dzulkefly berkata, mereka akan ditempatkan di klinik berdekatan tidak lama lagi.
Dzulkefly sebelum ini berkata kementerian tidak bercadang menutup semua K1M tetapi mahu memperbaiki dan menaikkan taraf K1M.
Katanya, kenaikan taraf klinik-klinik ini bertujuan membolehkannya memberi perkhidmatan kepada sekurang-kurangnya 50 pesakit setiap hari dalam kawasan seluas 1,400 kaki persegi dan cukup untuk kakitangan perubatan dan farmasi.
Laporan media sejak 2012 menggambarkan klinik di USJ1 itu menerima lebih daripada 50 pesakit setiap hari secara berterusan.
Notis penutupannya menjadi tular bersama laporan mengenai penutupan cawangan K1M di Damansara Damai, Seksyen 24 Shah Alam, Kelana Jaya dan Puchong Jaya.
Kehadiran pesakit di K1M meningkat daripada 1.3 juta ketika ia dimulakan pada 2010 kepada 6.59 juta pada 2017.
Kos penambahbaikan, peningkatan taraf dan penjenamaan semula K1M ke taraf klinik masyarakat dianggarkan daripada RM5 juta ke RM10 juta.
Di K1M, warga berusia 60 tahun ke atas diberi rawatan percuma sementara yang lain dikenakan RM1.