
Ketua Pengarah Kesihatan, Datuk Dr Noor Hisham Abdullah berkata proses kajian semula masih dijalankan sebelum dimuktamadkan pengurusan tertinggi KKM.
“Keputusan akan dibuat dalam masa terdekat mengenai perkara ini.
“KKM memberi jaminan proses penutupan klinik berkaitan di bawah penjenamaan semula akan dijalankan dengan tertib bagi menjamin kelangsungan perkhidmatan kesihatan yang diberikan,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Kenyataan itu sebagai maklum balas terhadap gambar notis pemberitahuan penutupan K1M di sekitar Lembah Klang yang tersebar di media sosial sejak pagi tadi.
Notis itu mendakwa K1M di Puchong Jaya, Damansara Damai, Kelana Jaya dan Seksyen 24, Shah Alam akan ditutup pada Ogos dan September ini.
Sementara itu, Dr Noor Hisham berkata, seperti diumumkan menteri kesihatan sebelum ini, kementerian sememangnya dalam proses mengkaji semula K1M di mana ianya akan dijenamakan semula kepada klinik komuniti.
Dalam proses semakan semula ini, KKM akan meneliti penutupan beberapa klinik komuniti yang memenuhi syarat tertentu, antaranya jumlah pesakit yang rendah, lokasi fasiliti kesihatan lain yang berdekatan serta sewa atau kos operasi tinggi.
“KKM akan turut meneliti untuk menaik taraf beberapa klinik komunti ini kepada klinik kesihatan dan menempatkan lebih banyak pegawai perubatan dan pegawai farmasi serta pembantu pegawai farmasi ke klinik komuniti secara berperingkat.”
Terdapat 347 K1M beroperasi di seluruh negara yang menyediakan perkhidmatan kepada setiap golongan masyarakat setempat.