Menteri: Majlis Penasihat Kesihatan dianggotai 5 hingga 7 pakar

Menteri: Majlis Penasihat Kesihatan dianggotai 5 hingga 7 pakar

Dzulkefly Ahmad berkata, anggota Majlis Penasihat Kesihatan terdiri daripada ahli perubatan dan ekonomi.

Free Malaysia Today
Dzulkefly Ahmad berkata, Majlis Penasihat Kesihatan akan berperanan sebagai badan penasihat, penyelesai masalah dan pemikir dalam melonjakkan penyampaian sektor penjagaan kesihatan. (Gambar Bernama)
PUTRAJAYA:
Kertas Kabinet berhubung cadangan penubuhan Majlis Penasihat Kesihatan akan dibentangkan minggu depan, kata Menteri Kesihatan, Dr Dzulkefly Ahmad.

Beliau berkata, majlis yang akan dianggotai 5 hingga 7 pakar pelbagai bidang itu akan berperanan sebagai badan penasihat, penyelesai masalah dan pemikir dalam melonjakkan penyampaian sektor penjagaan kesihatan.

“Ahli majlis tidak semestinya (ahli) perubatan, tetapi ada juga ahli ekonomi. Kita akan pilih yang paling baik di kalangan terbaik bagi memperkasa Kementerian Kesihatan serta menjadikan ia bertaraf dunia,” katanya selepas menghadiri perhimpunan bulanan kementerian hari ini.

Menurutnya, tempoh menunggu doktor yang lama, terutamanya pakar, bekalan ubat-ubatan terganggu dan kesesakan di kemudahan kesihatan antara fokus utama untuk ditangani dalam operasi perkhidmatan kesihatan.

Selain itu, katanya, tempoh menunggu siasatan lama serta kenaikan kos penjagaan kesihatan, terutama di sektor swasta turut diberi perhatian.

Klinik 1Malaysia dinamakan Klinik Rakyat

Dzulkefly berkata, Klinik 1Malaysia di seluruh negara akan dijenamakan semula sebagai Klinik Rakyat dan ia akan menempatkan lebih ramai doktor untuk meningkatkan keupayaan operasi.

“Penempatan lebih ramai doktor tidak menjadi masalah kerana kita menghasilkan kira-kira 5,000 doktor setiap tahun, cuma fasiliti untuk menempatkan mereka kurang.”

Berhubung peruntukan kerajaan bagi kesihatan, katanya, kementerian itu memerlukan peruntukan lebih tinggi bagi memastikan kualiti penyampaian perkhidmatan kesihatan kepada rakyat terus diperkasakan.

“Dalam tempoh 5 tahun ini diharap sektor kesihatan dapat menyumbang sekurang-kurang 6 hingga 7% kepada keluaran dalam negara kasar (KDNK).”

Beliau berkata, Skim Peduli Sihat yang ditangguhkan sementara, diharap dapat dimasukkan dalam peruntukan Bajet 2019.

Skim itu membabitkan cadangan pemberian RM500 pembiayaan untuk rawatan asas di klinik swasta berdaftar bagi golongan berpendapatan 40% terendah (B40) merupakan antara janji 100 hari Pakatan Harapan.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.