Kahwin bawah umur terus belenggu Malaysia, kata SIS

Kahwin bawah umur terus belenggu Malaysia, kata SIS

Arahan Dr Mahathir 5 bulan lalu berhubung isu perkahwinan bawah umur belum menjadi kenyataan.

Selain masalah kahwin bawah umur di Kelantan dan Terengganu, pelaksanaan larangannya di negeri seperti Pulau Pinang, Selangor dan Sabah masih dibayangi pelbagai persoalan. (Gambar Bernama)
PETALING JAYA:
Kebanyakan kerajaan negeri masih belum menggubal undang-undang ke arah membasmi perkahwinan bawah umur, kata sebuah pertubuhan bukan kerajaan.

Menurut Sisters in Islam (SIS), arahan berhubung perkara itu dikeluarkan oleh Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad pada Oktober tahun lalu, namun tidak diterjemahkan kepada tindakan di peringkat negeri.

SIS merujuk kepada keputusan Mahkamah Syariah di Kelantan yang meluluskan 10 perkahwinan bawah umur melibatkan gadis Islam dalam tempoh setahun lalu.

Dalam satu kenyataan hari ini, badan itu melahirkan rasa kesal dengan keputusan Kelantan and Terengganu untuk terus membenarkan perkahwinan bawah umur.

“Kami (juga) bimbang kerana kebanyakkan negeri belum mengambil langkah untuk mematuhi arahan Dr Mahathir bahawa umur minimum perkahwinan bagi orang Islam dan bukan Islam ditetapkan pada 18 tahun,” kata kenyataan itu.

Katanya, sungguhpun beberapa kerajaan negeri menyokong arahan itu, belum ada langkah komprehensif untuk memperkenalkan undang-undang yang diperlukan di peringkat negeri.

SIS berkata perkahwinan bawah umur membawa pelbagai gejala negatif, termasuk menjejaskan masa depan individu terbabit.

Ia berkata, selain masalah kahwin bawah umur di Kelantan dan Terengganu, pelaksanaan arahan Dr Mahathir itu di negeri seperti Pulau Pinang, Selangor dan Sabah masih dibayangi pelbagai persoalan.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.