Subsidi haji: Wan Azizah akan jumpa Mujahid

Subsidi haji: Wan Azizah akan jumpa Mujahid

Sebelum ini tular kenyataan yang mendakwa individu yang merayu atau pengiring mahram ke Tanah Suci tidak layak mendapat subsidi haji seperti sebelum ini.

Timbalan Perdana Menteri, Dr Wan Azizah Ismail berkata, perkara itu akan diteliti setelah beliau mendapat penjelasan daripada menteri berkenaan. (Gambar Bernama)
KUALA LUMPUR:
Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail berkata beliau akan mendapatkan perincian daripada Menteri di Jabatan Perdana Menteri Datuk Seri Dr Mujahid Yusof bagi membincangkan isu subsidi jemaah rayuan dan jemaah pengiring mahram haji.

Timbalan perdana menteri berkata, perkara itu akan diteliti setelah beliau mendapat penjelasan daripada menteri berkenaan.

“Itulah saya nak teliti, sebab saya belum lagi dapat perincian. Saya nak dapatkan (perincian) dahulu daripada menteri agama,” katanya ketika ditemui pemberita selepas hadir pada Majlis Rumah Terbuka sambutan Tahun Baru Cina Parlimen Wangsa Maju di sini, hari ini.

Sebelum ini, tular satu kenyataan yang mendakwa bahawa individu yang merayu atau pengiring mahram ke Tanah Suci tidak layak mendapat subsidi haji seperti sebelum ini sebagaimana satu jawapan di Facebook Lembaga Tabung Haji (TH).

Semalam Mujahid berkata, kerajaan tidak pernah mengeluarkan kenyataan berhubung penghapusan subsidi kos mengerjakan haji bagi bakal jemaah yang pergi atas tiket rayuan atau sebagai pengiring mahram.

Sebaliknya kata beliau, perkara itu adalah atas budi bicara TH yang akan membuat pertimbangan berdasarkan kemampuan individu terbabit.

Inflasi 1% bukti PH mampu pulih ekonomi

Sebelum itu, semasa berucap pada majlis tersebut, Dr Wan Azizah berkata kadar inflasi yang dicatatkan 1.0 peratus membuktikan kerajaan Pakatan Harapan dapat menjana semula ekonomi negara.

“Kadar inflasi pada tahun lepas hanya 1.0% dan ini merupakan kadar yang paling rendah sejak tahun 2009. Ini jauh lebih rendah daripada 3.7% yang dicatat pada 2017.

“Ini adalah satu usaha yang berterusan, tetapi langkah yang telah diambil oleh kerajaan dalam 9 bulan ini telah mula menunjukkan hasil,” katanya.

Dr Wan Azizah berkata, kerajaan turut menghadapi banyak kekangan ketika mengambil alih negara berikutan masalah hutang negara.

“Kita mahukan negara kita maju, kaya dan kita nak rakyat hidup selesa dengan kualiti hidup yang lebih baik,” katanya.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.