Saya tidak tahu Da Ma Cai taja polis, kata Hishammuddin

Saya tidak tahu Da Ma Cai taja polis, kata Hishammuddin

Hishammuddin menjadi menteri dalam negeri dari tahun 2009 hingga 2013 semasa pentadbiran BN.

Bekas menteri dalam negeri, Hishammuddin Hussein berkata, insiden syarikat perjudian menaja lawatan polis tidak sepatutnya berlaku.
SEMENYIH:
Datuk Seri Hishammuddin Hussein berkata, beliau tidak mengetahui bahawa syarikat perjudian ada menaja lawatan kerja polis ke luar negara ketika zaman pentadbiran Barisan Nasional (BN) dahulu.

Hishammuddin merujuk kepada masa beliau menjadi menteri dalam negeri dari tahun 2009 hingga 2013.

“Saya secara peribadi tidak tahu (lawatan polis ditaja Da Ma Cai). Kalau adapun ia (penajaan itu) tidak sampai ke tahap sayalah,” katanya ketika ditemui pemberita selepas mengadakan lawatan ke pasar malam Sri Jenaris bersama jentera PAS di sini, hari ini.

Katanya, insiden syarikat perjudian menaja lawatan polis seperti itu tidak sepatutnya berlaku.

“Sama ada betul atau tidak (syarikat judi taja lawatan polis). Kalau betul saya rasa ia tidak kena sebab orang yang membiayai lawatan itu ada kepentingan dan ia mesti dijelaskan,” katanya.

Beliau berkata demikian mengulas kenyataan Menteri Kewangan, Lim Guan Eng yang berkata, kerajaan BN sebelum ini meluluskan lawatan kerja polis ke Turki atas tajaan sebuah syarikat perjudian.

Lim dilaporkan berkata, kementeriannya tidak menanggung kos lawatan kerja itu, walaupun Menteri Dalam Negeri, Tan Sri Muhyiddin Yassin berkata, ia ditaja Lembaga Totalisator Malaysia, sebuah badan berkanun di bawah Kementerian Kewangan.

Minggu lepas, portal Sarawak Report melaporkan 16 pegawai kanan polis menyertai satu lawatan kerja ke Turki yang ditaja oleh syarikat judi Da Ma Chai dan menelan belanja lebih RM300,000 melibatkan penerbangan kelas perniagaan dan penginapan di hotel 5 bintang.

Hishammuddin membidas Lim yang menurutnya terus-menerus menyalahkan kerajaan sebelum ini apabila melibatkan sesuatu yang buruk, sedangkan kerajaan sekarang dikuasai oleh Pakatan Harapan (PH).

“Sekarang mereka (PH) memerintah, kenapa nak menunding jari kepada kerajaaan sebelum ini? Orang kata semua projek yang diluluskan kerajaan sebelum ini sudah dibatalkan oleh Guan Eng, jadi kenapa dalam hal ini nak salahkan kita? Kenapa tak batalkan?,” soalnya.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.