
Pemimpin Umno itu mengingatkan Pakatan Harapan bahawa skim bantuan sara hidup bertujuan untuk membantu dan meringankan beban rakyat.
“Seminggu dua ini saya baca Tweet, ramai yang sibuk kemaskini maklumat BSH. Cucu-cucu dan anak-anak bantu (mereka). Macam-macam proses dan dokumen diperlukan kini.
“Ramai yang marah, semakin menyusahkan orang kerajaan PH ini. Seolah-olah tidak ikhlas untuk beri, tidak menggalakkan orang mohon,” katanya di Facebook hari ini.
Najib mahu Pakatan Harapan faham pemberian bantuan tunai kepada rakyat membantu meningkatkan penggunaan domestik dan merangsang ekonomi.
“Tetapi kerajaan PH tidak faham atau buat-buat tidak faham,” katanya.
Beliau turut memuat naik beberapa komen pengguna Twitter yang melahirkan rasa tidak puas hati dengan proses BSH.
Seorang pengguna, @norlinda40 berkata lampiran kecil bersama borang untuk ibunya yang berusia 83 tahun meminta sijil nikah.
“Mana nak cari sijil nikah? Dah lama kut, rumah pun dah berpindah randah berapa kali, tentulah dah hilang. Macam-macam hal pemerintah baru ni,” katanya.
Seorang pengguna, @khairykj_ turut mengadu bagi pihak sepupunya yang membantu mengemaskini maklumat datuk mereka.
“Dia hendak tahu tarikh nikah tok wan. Orang tua itu sudah bercicit. Entah mana pergi sijil nikah dia pun sudah tidak ingat,” katanya.
“BR1M dulu tidak seperti ini, teruk betul,” kata seorang lagi pengguna, @_ginna_.
Dalam gambar yang dimuatnaik di FB Najib menunjukkan BSH meminta permohonan untuk warga emas berusia 60 tahun ke atas perlu menyediakan salinan kad pengenalan diri dan pasangan, salinan sijil nikah, salinan sijil perceraian dan salinan sijil kematian.
Turut diminta salinan sijil lahir anak bawah usia 18 tahun atau 19 tahun ke atas yang masih belajar serta surat tawaran, dan salinan no akaun bank isteri.
Terdahulu, kerajaan mengumumkan proses pendaftaran dan pengemaskinian maklumat isi rumah ini bagi memastikan hanya pemohon yang layak menerima BSH.
Ia dilakukan bagi memastikan sumber negara digunakan dengan berhemah serta tepat kepada golongan B40 dan mengelakkan ketirisan bantuan kepada golongan yang berada.