
Ini kerana ekosistem yang baik bukan sahaja dapat menarik lebih banyak pelabur malahan dapat melancar dan menjayakan pelaksanaan projek tersebut, katanya.
“Terpulang kepada kerajaan Melaka bagaimana mereka hendak mewujudkan satu ekosistem yang baik untuk menjamin kelayakan negeri ini sebagai hab projek kereta nasional ke-3.
“Ekosistem merangkumi pelbagai aspek termasuk kemudahan dan insentif yang disediakan untuk pelabur, pekerja, kepakaran, logistik, sumber tenaga dan tarif air,” katanya selepas menyempurnakan Perasmian Program Tanggungjawab Sosial Korporat Universiti Binary : Penyampaian Buku Rujukan Ujian Pencapaian Sekokah Rendah kepada pelajar tahun 6 Sekolah Jenis Kebangsaan Tamil Peringkat Parlimen Alor Gajah hari ini.
Beliau mengulas perkembangan terkini projek kereta nasional ke-3 khususnya permohonan Melaka untuk menjadi hab pengeluaran kereta berkenaan.
Redzuan yang juga Ahli Parlimen Alor Gajah berkata secara asasnya Alor Gajah dilihat sebagai lokasi strategik untuk dijadikan hab pengeluaran kereta nasional ke-3 kerana di situ juga terletaknya kilang pembuatan kereta Honda.
Beliau berkata kawasan tersebut mempunyai banyak kelebihan atau kepelbagaian sumber khususnya tenaga pekerja berpengalaman yang boleh berkongsi ilmu atau kepakaran mereka untuk menjayakan projek berkenaan.
“Banyak kelebihan atau manfaat yang dapat dinikmati sekiranya Melaka khususnya Alor Gajah terpilih sebagai hab pengeluaran kereta nasional ke-3 terutamanya daripada aspek pembangunan ekonomi setempat dan juga negeri.
“Bagaimanapun ia bergantung kepada keputusan kerajaan pusat untuk memutuskannya berdasarkan penilaian atau faktor yang diambil kira terutama aspek ekosistem terlibat,” katanya.
Sementara itu, beliau berkata setakat ini kebanyakan syarikat yang berminat untuk terlibat dalam projek kereta nasional ke-3 adalah syarikat tempatan yang mempunyai pelbagai kepakaran atau kebolehan tersendiri dalam pelbagai bidang kejuruteraan dan teknologi.
Katanya berdasarkan maklumat atau profil syarikat yang diterima, kepakaran mereka mampu membentuk satu industri kejuruteraan yang lengkap untuk merealisasikan hasrat kerajaan melaksanakan projek tersebut.