Salahuddin: Lantikan Azmin sebagai pengerusi MTN Kelantan dibawa ke majlis presiden PH

Salahuddin: Lantikan Azmin sebagai pengerusi MTN Kelantan dibawa ke majlis presiden PH

PH perlu kembali kepada persetujuan asal bahawa Amanah adalah parti yang menggalas tugas menerajui negeri Kelantan dan Terengganu.

Timbalan Presiden Amanah, Salahuddin Ayub. (Bernama pic)
PETALING JAYA:
Amanah hari ini memberitahu ia telah membawa isu pelantikan Datuk Seri Mohamed Azmin Ali sebagai pengerusi Majlis Tindakan Negeri (MTNg) Kelantan ke mesyuarat Majlis Presiden Pakatan Harapan (PH), semalam.

Timbalan presiden parti itu, Datuk Salahuddin Ayub berkata, perkara itu sudah dibincangkan secara baik dalam mesyuarat tersebut selepas menerima bantahan daripada Amanah Kelantan berhubung pelantikan tersebut.

“Saya menerima pandangan Amanah Kelantan dan semalam saya bawa perkara itu dalam mesyuarat presiden PH. Kita suarakan secara baik kepada majlis berhubung isu pelantikan pengerusi MTNg ini.

“Tun Dr Mahathir Mohamad bersikap begitu terbuka sekali dan beliau menerima segala pandangan itu dan meminta kita mengemukakan pandangan balas,” katanya kepada FMT.

Beliau berkata demikian ketika mengulas gesaan Amanah Kelantan supaya pelantikan Azmin dikaji semula, sekali gus meminta ahli Majlis Presiden PH bersuara berhubung perkara itu.

Ketua Pemuda Amanah negeri, Hazmi Hassan berkata, keputusan itu dicapai dalam mesyuarat khas biro politik Amanah Kelantan.

Katanya, PH perlu kembali kepada persetujuan asal antara parti komponennya bahawa Amanah adalah parti yang menggalas tugas menerajui negeri Kelantan dan Terengganu.

“Demi kesepakatan antara parti dalam PH, diharap pelantikan ini dikaji semula kerana konsensus yang dicapai sebelum ini meletakkan Amanah untuk menerajui Kelantan dan Terengganu.

“Konsensus itu dicapai oleh Majlis Presiden PH sendiri dan kita berharap ia dihormati demi kestabilan PH pada masa depan,” katanya.

Salahuddin berkata, Amanah memahami “kegusaran” yang ditimbulkan ahli partinya itu dan menyifatkannya sebagai lambang demokrasi yang diamalkan dalam PH.

Namun kataya, Amanah tetap akan menerima dan menghormati sebarang keputusan semula yang akan ditetapkan Dr Mahathir apabila ia diputuskan kelak.

Media melaporkan nama pemimpin yang disebut-sebut bakal dilantik ke jawatan tersebut ialah Naib Presiden Amanah, Datuk Husam Musa.

PAS semalam berkata, ia menyambut baik pelantikan Azmin dan menyifatkan lantikan oleh Dr Mahathir itu sebagai keputusan yang tepat.

Timbalan Presiden PAS Tuan Ibrahim Tuan Man berkata, ia (pelantikan Azmin) dapat mengeratkan lagi hubungan antara kerajaan persekutuan dengan kerajaan negeri yang diketuai parti itu.

Azmin yang juga Menteri Hal Ehwal Ekonomi dilantik sebagai pengerusi MTNg Kelantan berkuatkuasa 1 Januari lepas.

MTNg bertindak sebagai platform penyelarasan utama bagi pelaksanaan dasar berkaitan penyelarasan perancangan, pemantauan dan pengesanan pelaksanaan dasar dan projek pembangunan serta inisiatif semasa kerajaan Persekutuan di peringkat negeri.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.