Trafik ke Pantai Timur sesak, treler terbakar dalam terowong

Trafik ke Pantai Timur sesak, treler terbakar dalam terowong

Kerja-kerja mengalihkan treler selesai dan laluan di dalam terowong dibuka pada 9.06 pagi namun trafik masih sesak.

Aliran trafik ke Pantai Timur sesak sepanjang 11 kilometer berikutan kebakaran sebuah treler di dalam terowong Genting Sempah. (Gambar Facebook)
KUALA LUMPUR:
Aliran trafik menuju ke Pantai Timur dilaporkan sesak sepanjang 11 kilometer berikutan insiden treler terbakar dalam terowong Genting Sempah awal pagi tadi.

Jurucakap Lembaga Lebuhraya Malaysia (LLM) berkata, insiden yang berlaku pada 1.37 pagi itu, menyebabkan laluan kontra dibuka di KM38.2 hingga KM36.9 arah barat sebelum terowong Genting Sempah bermula pada 8.24 pagi sehingga 9.06 pagi untuk kerja-kerja mengalihkan treler itu.

Kerja-kerja mengalihkan treler itu selesai dan laluan di dalam terowong itu dibuka pada 9.06 pagi namun trafik masih sesak.

“Pemandu treler itu tidak mengalami sebarang kecederaan dan treler itu hanya terbakar di bahagian depan,” katanya ketika dihubungi hari ini.

Sementara itu, jurucakap PLUS Malaysia Berhad berkata, setakat ini aliran trafik bergerak perlahan dari Tapah ke Gopeng.

Orang ramai boleh mendapatkan maklumat trafik terkini menerusi talian bebas tol Plusline di 1800-88-0000 dan Lembaga Lebuhraya Malaysia (LLM) di talian 1800-88-7752 atau merujuk laman Twitter di www.twitter.com/plustrafik dan www.twitter.com/llminfotrafik.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.