AADK: Lebih 80% penagih dadah orang Melayu

AADK: Lebih 80% penagih dadah orang Melayu

Selepas 3 tahun, bilangan penagih dadah dalam kalangan orang Melayu tidak menurun.

AADK mendapati faktor kemiskinan dan tahap pendidikan orang Melayu yang rendah menjadi punca utama mereka terlibat dalam penagihan dadah. (Gambar AFP)
KUALA LUMPUR:
Tiga tahun lepas kerajaan sebelum ini melaporkan bahawa 80% penagih dadah di negara ini adalah dalam kalangan orang Melayu, dan peratusan tersebut tidak berubah pada tahun ini, kata Ketua Pengarah Agensi Anti Dadah Kebangsaan (AADK), Datuk Seri Zulkifli Abdullah.

Beliau berkata, AADK mendapati faktor kemiskinan dan tahap pendidikan orang Melayu menjadi punca mereka terlibat dalam penagihan dadah.

“Kebanyakannya berusia antara 19 dan 39 tahun, mereka dari keluarga berpendapatan dan berpendidikan rendah. Malah kebanyakan mereka juga berasal dari negeri Pahang, Kelantan, Terengganu dan Perlis yang lebih miskin.

“Kita juga dapati rata-rata tinggal di kawasan PPR, tanah rancangan Felda dan kawasan nelayan,” katanya dalam program Bicara Politikonomi di RTM, hari ini.

Bagaimanapun katanya, satu kajian menyeluruh akan diperoleh pada hujung tahun ini bagi mengenal pasti punca bilangan penagih dadah yang tinggi dalam kalangan orang Melayu.

“Memang kita boleh nampak secara kasar seperti faktor kemiskinan dan pendidikan, tetapi belum ada kajian khusus kenapa orang Melayu mudah sangat terjebak dengan dadah.

“Jadi pihak AADK telah meminta pengkaji universiti tempatan melakukan penyelidikan terperinci supaya kita boleh membuat satu rumusan supaya kerajaan dapat mengambil langkah yang sewajarnya, kata Zulkifli.

Ketua Pengarah AADK, Zulkifli Abdullah.

Beliau berkata, disebabkan angka penagih dadah kini mencecah lebih 140,000 orang dan dadah muda diperolehi dengan harga yang sangat murah, timbul perbincangan sama ada akta perintah berkurung dalam kalangan belia perlu dilaksanakan.

“Kita mencadangkan pendekatan yang dibuat di Iceland yang menetapkan remaja berusia 16 tahun tidak boleh keluar rumah selepas pukul 10 malam, tetapi penguatkuasaan larangan itu perlu mendapat persetujuan ibu bapa.

Namun, kata beliau, banyak pihak mengecam cadangan tersebut yang disifatkan tidak bersesuaian dengan kehidupan masyarakat di negara ini.

“Memang kehidupan negara kita lain. Ada negara yang waktu malamnya senyap sunyi, tetapi aktiviti malam kita pula menyaksikan banyak kedai yang beroperasi 24 jam.

“Di Iceland, ibu bapa membuat rondaan pada waktu malam bukan polis dan penguatkuasa. Kita pula ada rukun tetangga, tetapi sanggupkah ibu bapa Malaysia ketika ini keluar rumah membuat rondaan menasihatkan anak muda? Itu satu perkara yang perlu difikirkan,” katanya.

Statistik 2017 menunjukkan 20,956 daripada 25,922 kes baru melibatkan penagih Melayu, jauh berbeza dengan penagih Cina dan India yang tidak sampai 2,000 kes.

Pulau Pinang dan Kelantan merupakan “lubuk” penagih paling ramai apabila masing-masing mencatatkan rekod hampir 4,000 penagih baru.

3 tahun lepas, Timbalan Menteri Dalam Negeri, Datuk Nur Jazlan Mohamed dalam satu persidangan Dewan Rakyat mendedahkan angka antara tahun 2013 sehingga 2015 menunjukkan 80% daripada 127,606 penagih dadah adalah orang Melayu.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.