
Mendedahkan perkara itu, Presiden Majlis Penggunaan Bahan Terlarang (MASAC), Ahmad Lutfi Abdul Latiff berkata produk yang menggunakan pelbagai nama itu dijual dengan harga serendah RM5.
“Sebelum ini penjualannya hanya secara dalam talian tetapi sekarang dah masuk jualan runcit.
“Kebanyakan produk makanan ringan yang disalut dengan dadah ini diseludup dari negara jiran,” katanya kepada FMT.
Beliau mengulas kenyataan Timbalan Perdana Menteri Zahid Hamidi berkaitan isu penagihan dadah dalam kalangan kanak-kanak yang semakin membimbangkan dengan ada sebahagiannya mula terjebak seawal sekolah rendah pada usia 10 tahun.
Zahid berkata antara punca ketagihan dalam kalangan bawah umur adalah taktik pengedar yang memberikan gula-gula mengandungi dadah secara percuma.
Mengulas lanjut, Lutfi berkata bagi menangani isu itu pihak berkuasa termasuk Agensi Anti Dadah Kebangsaan (AADK) perlu bertindak segera termasuk bekerjasama dengan NGO berkaitan dadah seperti MASAC.
Katanya, kerjasama strategik termasuk sesi libat urus penting bagi menetapkan dasar, pendidikan kepada kanak-kanak serta pelaksanaan pencegahan awal.
Presiden Pertubuhan Al-Sirath Malaysia, Mohd Redzhuan Mohd Yusof pula mendedahkan penjualan gula-gula dan makanan yang disaluti dadah itu sudah dikesan sejak 2018 lagi dan kini ia dipercayai dijual di kawasan sekolah.
“Dari cerita saya dapat, penjual akan tunggu depan pagar sekolah seperti penjual makanan ringan yang biasa dilihat di kawasan sekitar sekolah,” katanya.
Redzhuan yang menguruskan sebuah pusat pemulihan penagihan dadah menasihati ibu bapa supaya lebih peka dan memantau perubahan tingkah laku anak mereka supaya ketagihan produk dadah tersebut dapat dikesan lebih awal.
“Pantau wang saku dan gajet anak, serta peka terhadap perubahan tingkah laku seperti sering pening, murung, agresif atau obses dengan produk makanan ringan berperisa pelik.
“Ini penting kerana kita tidak mahu masalah ketagihan kanak-kanak hanya disedari apabila sudah sampai ke tahap serius,” katanya.