Penyanyi Dewa 19 dipenjara 18 bulan hina penyokong Ahok

Penyanyi Dewa 19 dipenjara 18 bulan hina penyokong Ahok

Ahmad Dhani didapati bersalah sengaja menghasut kebencian terhadap sekumpulan individu berdasarkan bangsa, etnik atau kelas.

Melalui akaun Twitter, Ahmad Dhani berkata ‘sesiapa yang menyokong orang kafir adalah sampah dan patut diludah ke muka’. (Gambar kompas.com)
PETALING JAYA:
Penyanyi terkenal Indonesia, Ahmad Dhani dijatuhi hukuman penjara 18 bulan pada Isnin kerana membuat ucapan kebencian melalui Twitter yang menghasut orang ramai supaya menyerang penyokong bekas gabenor Jakarta, Basuki Tjahaja Purnama atau Ahok.

The Jakarta Post melaporkan penyanyi kumpulan Dewa 19 itu didapati bersalah sengaja menghasut kebencian terhadap sekumpulan individu berdasarkan bangsa, etnik atau kelas.

“Mahkamah menjatuhi Ahmad Dhani hukuman penjara 1 tahun dan 6 bulan,” kata hakim Ratmoho ketika menyampaikan keputusan itu.

Semasa kempen pilihan raya gabenor pada 9 Mac 2017, Dhani membuat kiriman di Twitter yang berbunyi: “Sesiapa yang menyokong orang kafir adalah sampah dan patut diludah ke muka.”

Susulan itu, penyokong Ahok membuat laporan polis terhadap Dhani kerana didakwa menyebarkan ucapan benci.

Pada Oktober tahun lepas, Polis Jawa Timur menamakan Dhani sebagai suspek dalam kes ucapan kebencian selepas dia membuat vlog menggelarkan pesaing politiknya sebagai “idiots”. Bagaimanapun, dia belum berdepan perbicaraan kes itu.

Minggu lalu, Ahok dibebaskan selepas tamat menjalani hukuman penjara 2 tahun di Penjara Markas Komando Brigade Mobil.

Ahok didapati bersalah dalam kes penistaan atau penghinaan terhadap agama Islam oleh mahkamah Indonesia pada 9 Mei 2017.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.