Pekerja asing ‘dalam ketakutan’ kerana sukar baharui permit

Pekerja asing ‘dalam ketakutan’ kerana sukar baharui permit

Pembantu rumah dari Indonesia dan Filipina gagal memperbaharui permit kerja kerana masalah ketelusan dalam prosedur.

Pekerja asing mendakwa proses dan kos memperbaharui permit telah berubah. (Gambar AFP)
PETALING JAYA:
Dengan memegang beg kecil di sebelah tangan dan sebelah lagi memegang payung, Kak Som bergegas melintas jalan.

Sekali pandang, wanita bertubuh kecil dalam lingkungan usia 50-an itu boleh disalah anggap sebagai orang Cina Malaysia tetapi sebenarnya dia adalah orang Indonesia berketurunan Cina.

Dia bekerja sebagai pembantu rumah di Malaysia hampir 2 dekad, membersih rumah dan melayani majikan berbeza selama bertahun-tahun.

Dia tidak pernah berdepan sebarang masalah di negara ini – sehingga kini. Jun lalu, dia cuba memperbaharui permit kerja. Bagaimanapun, permohonannya tertangguh sehingga hari ini.

“Tidak ada sebarang berita,” katanya kepada FMT. “Begitu juga semua kawan saya yang cuba memperbaharui permit mereka.”

Satu-satunya khabar yang dia terima dari agensinya adalah dia dan kawan-kawannya perlu menunggu sehingga selepas Tahun Baru Cina. Bagaimanapun, tidak ada jaminan permit mereka akan diperbaharui dengan segera.

Buat masa ini, mereka hanya perlu berjaga-jaga jika mereka keluar rumah.

“Kami sangat berhati-hati untuk keluar bekerja. Pernah sekali, saya diminta oleh pihak berkuasa menunjukkan permit saya. Saya tidak ada pilihan selain menunjukkan kepada mereka permit yang telah tamat tempoh. Saya memberitahu mereka saya masih menunggu permit saya diperbaharui. ”

Selalunya, ia tidak sukar memperbaharui permit kerja, katanya.

“Proses semakin lama dan lebih sukar, dan kosnya tidak murah.”

Maria yang berasal dari Filipina, bekerja sebagai pembantu rumah di Malaysia selama 10 tahun. Seperti Kak Som, permitnya tamat Julai lalu dan dia tidak dapat memperbaharuinya.

Maria, 37, berkata dia bertanya agensinya mengenai permohonannya beberapa kali. Bagaimanapun, dia sentiasa diberitahu perkara yang sama: “Kami akan cuba memperbaharuinya bulan depan.”

“Saya tidak tahu ke mana hendak pergi,” katanya. “Tinggal di negara ini tanpa dokumen adalah berbahaya, dan saya tidak berasa selamat.”

Apabila dihubungi FMT, kumpulan masyarakat sivil Tenaganita menganggap masalah ini sebagai sebahagian kekurangan ketelusan dalam prosedur.

Pengarah Eksekutif Tenaganita, Glorene A Das berkata perkara ini mengecewakan pekerja asing serta majikan mereka, menyebabkan mereka tertunggu-tunggu.

“Kami tidak tahu apa yang sedang berlaku,” katanya. “Tidak ada ketelusan, atau perhubungan antara majikan, imigresen dan kementerian.

“Kira-kira 4 hingga 5 tahun lalu, resit dan dokumen akan diberikan secara terus oleh imigresen untuk kami pegang, untuk kembali dan memantau dan memeriksa, tetapi sekarang tidak ada apa-apa. Tiada maklumat mengenai apa yang berlaku dengan imigresen dan agensi yang berkaitan.”

Glorene menambah sebarang keputusan atau dasar baru yang diperkenalkan oleh kerajaan tidak akan menjejaskan proses pembaharuan berterusan bagi permit pekerja asing.

Beliau merujuk kepada pengumuman Menteri Sumber Manusia M Kula Segaran tahun lalu bahawa jawatankuasa bebas untuk menyelaraskan keseluruhan polisi dan pengurusan pekerja asing akan bermula pada Oktober.

“Saya percaya laporan oleh jawatankuasa itu akan dikeluarkan tidak lama lagi,” katanya. “Mungkin mereka menunggu untuk memastikan apa yang akan berlaku seterusnya. Tetapi itu tidak sepatutnya menghentikan pembaharuan yang berterusan.”

Beliau juga menyeru kerajaan mengkaji semula sistem untuk pekerja asing.

“Ia sangat penting untuk menteri dan jabatannya mengadakan perbincangan lebih mendalam, bukan sekadar mengadakan perbincangan dan menyuruh semua orang datang.”

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.