Kementerian akan semak projek ‘Roda Ferris’ Kampung Baru

Kementerian akan semak projek ‘Roda Ferris’ Kampung Baru

Kementerian Wilayah Persekutuan berkata ia hanya membincangkan projek yang belum atau yang baru diluluskan permohonan.

Projek M101 Skywheel menimbulkan kebimbangan penduduk Kampung Baru. (Gambar Facebook)
PETALING JAYA:
Kementerian Wilayah Persekutuan akan menyemak terlebih dulu projek pembinaan projek 2 menara yang dilengkapi Roda Ferris tertinggi di Asia Tenggara yangb dibina di Kampung Baru.

Menteri Khalid Samad berkata, kementeriannya hanya membincangkan projek yang belum atau yang baru diluluskan permohonan.

“Sebab tumpuan saya yang sedang dalam proses dan sedang dalam kelulusan. Bukannya yang dah lulus atau dah mula. Saya akan semak dulu.

“Secara umumnya kalau apa-apa pembangunan mesti ada prosedur-prosedur keselamatan dan kelulusan keselamatan,” katanya ketika dihubungi FMT.

Sebelum ini, FMT melaporkan Projek M101 Skywheel yang menelan belanja RM1.4 bilion berhampiran Jalan Raja Muda Abdul Aziz dikhuatiri akan membawa kesan buruk kepada penduduk Kampung Baru.

Projek pembinaan Menara M101 itu difahamkan bermula pada 2016. Selain menempatkan Roda Ferris, ia turut dilengkapi gedung membeli belah di “langit” dari tingkat 48 hingga 52.

Selain itu, ia turut menempatkan Hotel Planet Hollywood pertama di Asia dan luar Amerika Syarikat yang dijangka menarik pelancong tempatan dan asing.

Penduduk melahirkan kebimbangan dari aspek keselamatan apabila Roda Ferris itu diletakkan di atas puncak 2 menara, selain menyebabkan penjualan arak secara berleluasa di kawasan perkampungan Melayu tertua itu.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.