Umno, PAS sokong Pelan Antirasuah Nasional kerajaan

Umno, PAS sokong Pelan Antirasuah Nasional kerajaan

Timbalan Presiden Umno anggap pelan baik untuk bendung rasuah.

PUTRAJAYA: Timbalan Presiden Umno Datuk Seri Mohamad Hasan menyokong Pelan Anti Rasuah Nasional (NACP) 2019-2023 yang dilancarkan kerajaan hari ini.

Mohamad berkata sudah sampai masanya satu rancangan diwujudkan untuk memerangi rasuah, dan disebabkan itu beliau hadir ke majlis pelancaran pelan tersebut.

“Saya tak baca pelan ini lagi tetapi pelan ini amat baik untuk kita pastikan gejala rasuah dapat dibendung.

“Kerana jika rasuah tidak dibendung, dia akan membinasakan negara dan bangsa,” katanya ketika ditemui selepas pelancaran NACP 2019-2023.

Sebelum itu, Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad melancarkan NACP yang merupakan pelan yang dibangunkan khusus untuk dilaksanakan dalam tempoh 5 tahun yang dibangunkan oleh Pusat Governans, Integriti dan Anti Rasuah (GIACC), Jabatan Perdana Menteri, dengan kerjasama agensi-agensi kerajaan lain.

Sementara itu, Presiden PAS Datuk Seri Abdul Hadi Awang juga menyokong pelan NACP itu.

Hadi berkata, usaha itu menjadi tanggungjawab bersama semua pihak berkaitan.

“PAS sentiasa menjunjung tinggi nilai integriti dan ketelusan dalam negara, serta terbuka untuk bekerjasama dengan semua pihak bagi menjadikan Malaysia bersih daripada rasuah,” katanya di Facebook.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.