‘Roda Ferris’ Kampung Baru cetus kebimbangan penduduk

‘Roda Ferris’ Kampung Baru cetus kebimbangan penduduk

Pembinaan Roda Ferris di puncak Menara M101 melahirkan kebimbangan dari segi tahap keselamatan penduduk dan mereka yang akan menaikinya.

Projek M101 Skywheel yang dilengkapi Roda Ferris di puncak 2 menara terletak di Jalan Raja Muda Abdul Aziz, Kampung Baru.
KUALA LUMPUR:
Projek 2 menara yang dilengkapi Roda Ferris tertinggi di Asia Tenggara yang dibina di Kampung Baru menimbulkan kritikan dalam kalangan penduduknya.

Projek M101 Skywheel yang menelan belanja RM1.4 bilion berhampiran Jalan Raja Muda Abdul Aziz dikhuatiri akan membawa kesan buruk kepada penduduk Kampung Baru.

Penduduk yang ditemui, Mohd Shawal Md Sharif melahirkan kebimbangan dari aspek keselamatan apabila Roda Ferris itu diletakkan di atas puncak 2 menara.

“Adakah selamat apabila Roda Ferris dibina di atas bangunan? Bagaimana dengan tahap keselamatan penduduk yang tinggal di kawasan berdekatan seperti saya dan mereka yang naik di atas roda itu,” soalnya.

Shawal, 32, yang tinggal berhadapan menara itu turut berkata pembinaan menara tersebut menyebabkan beliau sekeluarga tidak boleh tidur lena.

“Nak tidur pun tak boleh sebab terasa gegaran pembinaan,” katanya ketika ditemui FMT baru-baru ini.

Mohd Shawal Md Sharif.

Projek pembinaan Menara M101 itu difahamkan bermula pada 2016. Selain menempatkan Roda Ferris, ia turut dilengkapi gedung membeli belah di “langit” dari tingkat 48 hingga 52.

Selain itu, ia turut menempatkan Hotel Planet Hollywood pertama di Asia dan luar Amerika Syarikat yang dijangka menarik pelancong tempatan dan asing.

Seorang lagi penduduk, Mashuti Mat Soom, 65, turut melahirkan kebimbangan dengan pembinaan M101 yang dikhuatiri akan menyebabkan penjualan arak secara berleluasa di kawasan perkampungan Melayu tertua itu.

“Roda Ferris itu satu hiburan dan mungkin akan ada penjualan arak di situ juga. Ia akan mempengaruhi penduduk golongan muda di kawasan ini.

“Saya berharap pihak Perbadanan Pembangunan Kampong Bharu (PKB) melihat perkara ini dan mengkajinya dari impak sosial,” katanya.

Sementara, Abd Wahab Saidi, 66, pula mempersoalkan bagaimana kedudukan perkampungan Melayu di Kampung Baru apabila Hotel Planet Hollywood dibina di kawasan tersebut dan kediaman untuk M101 dijual kepada orang bukan Melayu.

“Kita juga khuatir pembinaannya juga akan menyebabkan jalan di Kampung Baru semakin sesak dengan kenderaan,” katanya.

Mengulas isu berkenaan, PKB dalam satu kenyataan kepada FMT berkata, dari aspek keselamatan yang menempatkan Roda Ferris di atas puncak menara, pelan pembangunan perlu disediakan oleh jurutera bertauliah bagi memastikan segala keperluan kejuruteraan dipatuhi sepenuhnya.

Abd Wahab Saidi.

“Pihak berkuasa seperti Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) dan agensi berkaitan seperti Institut Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan Negara (Niosh) dan Lembaga Pembangunan Industri Pembinaan Malaysia (CIDB) merupakan agensi bertanggungjawab dalam kawalan selia pembinaan,” katanya.

PKB yang bertanggungjawab dalam perancangan pembangunan Kampung Baru turut menyatakan DBKL selaku pihak berkuasa tempatan yang meluluskan pelan pembangunan menetapkan waktu pembinaan menara berkenaan dengan mengambil kira persekitaran tapak projek.

“Lazimnya, bagi tapak projek yang berdekatan sekolah dan kediaman, waktu pembinaan dihadkan sehingga pukul 7 malam atau 10 malam. DBKL juga akan memastikan cerucuk yang digunakan bagi tujuan pembinaan bersesuaian bagi mengurangkan gegaran dan bunyi bising,” jelasnya.

Mengulas mengenai kekhuatiran penjualan arak dan pusat hiburan apabila M101 dibina, PKB berkata penetapan aktiviti yang boleh dilaksanakan dalam premis bangunan adalah tertakluk kepada syarat pelesenan DBKL.

“Pihak berkuasa juga akan menjalankan pemantauan bagi memastikan syarat-syarat tersebut dipatuhi oleh pengusaha,” katanya.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.