Pemimpin bahagian PPBM Melaka nafi wujud gerakan tolak Redzuan

Pemimpin bahagian PPBM Melaka nafi wujud gerakan tolak Redzuan

Individu menentang Redzuan di Melaka tidak hadir mesyuarat pimpinan negeri lebih daripada 3 kali berturut-turut.

Setiausaha PPBM Melaka Zamzuri Ariffin berkata, laporan media yang memetik sumber kepimpinan parti itu adalah kesinambungan percubaan untuk menjatuhkan imej dan kredibiliti Redzuan. (Gambar Facebook)
PETALING JAYA:
Pemimpin PPBM di peringkat bahagian Melaka menolak laporan yang memetik anggota Majlis Pimpinan Tertinggi parti itu bahawa terdapat usaha mahu menyingkirkan Datuk Seri Redzuan Yusof sebagai pengerusi PPBM negeri.

Setiausaha PPBM Melaka, Zamzuri Ariffin berkata, laporan yang memetik sumber itu adalah kesinambungan percubaan beberapa pemimpin PPBM negeri itu yang mahu menjatuhkan imej dan kredibiliti Redzuan.

“Ia merupakan kesinambungan percubaan beberapa kerat pemimpin PPBM Melaka untuk mencalarkan kepimpinan Redzuan. Kehadiran kami bertujuan untuk menunjukkan sokongan kepada Redzuan,” katanya dalam sidang media, hari ini.

Terdahulu, Redzuan memberitahu FMT bahawa beliau menolak laporan yang mendakwa dirinya menyasarkan jawatan tertinggi dalam parti, termasuk jawatan pengerusinya Tun Dr Mahathir Mohamad.

Ia susulan laporan portal berita Malaysiakini yang menyebut, pemimpin bahagian PPBM di Melaka mahu Redzuan disingkirkan daripada jawatan pengerusi negeri berkenaan melalui “undi rahsia”.

Laporan itu turut menyebut “pemberontak” terbabit mahu anggota exco kerajaan negeri, Datuk Mohd Rafiq Naizamohideen dilantik sebagai pengerusi negeri dengan mendakwa mereka tidak berpuas hati dengan keputusan Redzuan mengetepikan bekas Datuk Bandar Kuala Lumpur, Datuk Ruslin Hasan sebagai penyelaras Dewan Undangan Negeri Ayer Limau.

Zamzuri, tanpa menyebut nama bagaimanapun berkata, individu yang menentang kepimpinan Redzuan di Melaka kerap tidak hadir mesyuarat pimpinan negeri lebih daripada 3 kali berturut-turut tanpa sebarang sebab sebelum ini.

“Ini merupakan pelanggaran disiplin yang serius. Bahkan salah seorang mereka juga mempunyai rekod buruk kerana pernah digantung keahlian partinya dahulu untuk tempoh waktu yang panjang,” katanya.

Tambahnya, pimpinan PPBM di peringkat pusat perlu mengambil tindakan segera dengan menukar pemimpin berkenaan dengan pemimpn lain yang lebih bertanggungjawab.

“Ambil tindakan segera dan tegas, kami nasihatkan pemimpin berniat jahat itu hentikan usaha yang tidak bermoral ini kerana ia merugikan masyarakat khususnya orang Melayu.

“Kami kesal terhadap tindakan mereka yang mengambil kesempatan atas sikap terbuka Redzuan selama ini,” katanya yang turut memaklumkan bahawa pendirian itu turut disokong oleh keseluruhan 6 pemimpin bahagian PPBM Melaka.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.