Najib dakwa prestasi ekonomi akan semakin lembap, petik Jabatan Perangkaan

Najib dakwa prestasi ekonomi akan semakin lembap, petik Jabatan Perangkaan

Bekas perdana menteri memetik laporan Indeks Pelopor oleh Jabatan Perangkaan Negara yang memberikan bacaan keadaan ekonomi.

PETALING JAYA:
Bekas perdana menteri Datuk Seri Najib Razak hari ini membunyikan amaran prestasi ekonomi akan semakin lembap untuk bulan-bulan akan datang, berdasarkan kepada laporan Indeks Pelopor (IP) oleh Jabatan Perangkaan Negara.

Indeks tersebut, yang dikumpulan pada November 2018, dikeluarkan oleh jabatan tersebut minggu lepas.

Najib menjelaskan indeks itu memantau prestasi ekonomi ke hadapan dan petunjuk bagi keadaan ekonomi pada jangka masa akan datang.

“Maksudnya, bacaan indeks untuk November 2018 menggambarkan keadaan ekonomi untuk suku pertama dan suku kedua tahun depan,” katanya di Facebook.

Memetik laporan itu, Najib berkata indeks susut bagi tempoh 6 dari 7 bulan yang dipantau selepas pilihan raya umum ke-14 iaitu dari Mei sehingga November.

Menurut Najib, indeks mencatatkan angka negatif untuk 5 bulan berturut-turut, dan “lebih membimbangkan” ialah angka penyusutan semakin menjunam untuk 5 bulan yang terakhir.

“Berdasarkan laporan indeks ini, Jabatan Perangkaan telah membuat rumusan bahawa prestasi ekonomi negara akan semakin lembab untuk bulan-bulan yang akan datang,” katanya.

Bekas perdana menteri berkata indeks yang sama menunjukkan kenaikan untuk setiap bulan dari Januari sehingga April, iaitu sebelum kerajaan bertukar tangan.

“Kita tunggu menteri kewangan kita mengeluarkan kenyataan bahawa ini salah Najib,” katanya merujuk kepada Lim Guan Eng.

Sementara itu, dalam laporan yang dilihat FMT, Jabatan Perangkaan Negara menjangkakan ekonomi Malaysia bertumbuh pada Mac hingga Mei tahun ini.

Jangkaan itu berdasarkan Indeks Pelopor, Serentak dan Susulan bagi November 2018.

“Perubahan bulanan IP meningkat pada November 2018, dengan mencatatkan pertumbuhan 0.3% kepada 119.0 mata daripada 118.7 mata pada Oktober 2018,” katanya.

Walaupun Indeks Serentak (IS) yang mengukur keadaan ekonomi semasa turun 0.1% pada November 2018, perubahan tahunannya bertumbuh 3.6% pada bulan sama.

“Indeks Difusi bagi IP menunjukkan prestasi yang lebih baik pada November 2018 berbanding bulan lepas. Indeks Difusi bagi IP mencatatkan 71.4% manakala semua komponen Indeks Difusi bagi IS meningkat untuk mencapai 100.0% seperti pada Oktober 2018,” tambahnya.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.