Tiada kompromi, Syed Saddiq pertahan larangan ke atas atlet Israel selepas tindakan IPC

Tiada kompromi, Syed Saddiq pertahan larangan ke atas atlet Israel selepas tindakan IPC

Menteri belia dan sukan itu berkata, Malaysia belum hilang pedomannya.

Kontinjen Israel memasuki stadium sempena temasya Olimpik Beijing pada 2008. Malaysia mempertahankan keputusan melarang atlet Israel memasuki negara ini. (Gambar AFP)
PETALING JAYA:
Putrajaya hari ini mempertahankan larangan ke atas atlet Israel daripada menyertai kejohanan antarabangsa anjuran Malaysia, susulan tindakan Jawatankuasa Paralimpik Antarabangsa (IPC) melucutkan hak Malaysia menganjurkan Kejohanan Renang Para Dunia 2019.

“Malaysia kekal dengan keputusannya atas dasar kemanusiaan dan belas kasihan terhadap nasib rakyat Palestin. Kami tidak akan berkompromi,” kata Menteri Belia dan Sukan, Syed Saddiq Syed Abdul Rahman.

Katanya, Malaysia merasakan lebih penting untuk menentang kerajaan Israel daripada menganjurkan sebuah acara sukan antarabangsa.

“Jika penganjuran acara sukan antarabangsa lebih penting daripada menyokong saudara kami di Palestin yang dibunuh, dicacatkan dan diseksa rejim Netanyahu, itu bermakna Malaysia sudah hilang pedomannya.”

IPC dalam mesyuarat di London hari ini mengumumkan Malaysia dilucutkan hak penganjuran Kejohanan Renang Para Dunia 2019 yang sepatutnya berlangsung di Kuching, Julai nanti.

Ia susulan rayuan Israel untuk mengubah lokasi kejohanan, jika Malaysia enggan membatalkan larangan ke atas atletnya.

“Apabila negara tuan rumah mengecualikan atlet dari negara tertentu atas alasan politik, maka kami langsung tiada pilihan kecuali mencari tuan rumah baru,” kata Presiden IPC, Andrew Parsons dalam satu kenyataan.

Syed Saddiq berkata, tindakan Malaysia sejajar laporan badan hak asasi manusia dunia seperti Amnesty International dan Human Rights Watch yang mendakwa Perdana Menteri Israel, Benjamin Netanyahu terbabit dalam jenayah perang.

“Sebagai pemimpin Israel, dia mewakili hasrat kolektif kerajaan Israel. Israel ialah lokus tindakan moral kolektif mereka.”

Malaysia tidak mempunyai hubungan diplomatik dengan Israel, walaupun ada laporan mengatakan terdapat hubungan perdagangan antara kedua-dua negara.

Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad sudah lama mengkritik tindakan Israel menduduki tanah Palestin dan baru-baru ini, beliau dikritik pelobi Yahudi atas komennya yang didakwa mereka sebagai anti-Yahudi.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.