Badan dunia lucut hak Malaysia anjur kejohanan renang para

Badan dunia lucut hak Malaysia anjur kejohanan renang para

Jawatankuasa Paralimpik Antarabangsa berkata, Malaysia gagal memberi jaminan atlet Israel bebas bertanding dalam Kejohanan Renang Para Dunia 2019 yang sepatutnya diadakan di Sarawak, Julai nanti.

Kejohanan Renang Para Dunia 2019 sepatutnya berlangsung di Kuching, Julai depan. (Gambar AFP)
PETALING JAYA:
Jawatankuasa Paralimpik Antarabangsa (IPC) melucutkan hak Malaysia menganjurkan Kejohanan Renang Para Dunia 2019 yang dijadualkan di Kuching Julai nanti, susulan keputusan Putrajaya melarang atlet Israel memasuki negara ini.

IPC ketika membuat keputusan itu dalam mesyuarat di London hari ini berkata, Kementerian Dalam Negeri gagal memberi “jaminan diperlukan untuk perenang Israel mengambil bahagian, bebas daripada diskriminasi dan selamat dalam kejohanan itu”.

Katanya, ia termasuk mematuhi sepenuhnya protokol jawatankuasa itu berkaitan lagu kebangsaan, bendera dan menyediakan visa berkaitan, jika perlu.

Presiden IPC, Andrew Parsons dalam satu kenyataan berkata, matlamat paralimpik “sentiasa didorong hasrat untuk memacu keterangkuman, bukan pengasingan”.

“Apabila negara tuan rumah mengecualikan atlet dari negara tertentu atas alasan politik, maka kami langsung tiada pilihan kecuali mencari tuan rumah baru.”

Israel menggesa IPC menukar lokasi kejohanan, jika ia gagal memujuk Malaysia membatalkan larangan itu sebelum acara itu bermula 29 Julai hingga 4 Ogos nanti.

Parsons berkata, apabila IPC menandatangani kontrak dengan Majlis Paralimpik Malaysia pada September 2017 untuk menganjurkan kejohanan itu, “Kami diberi jaminan semua atlet dan negara yang layak akan dibenarkan menyertai acara itu dengan jaminan keselamatan mereka”.

“Sejak itu, terdapat perubahan pucuk pimpinan politik dan kerajaan baru Malaysia mempunyai pendapat berbeza.

“Politik dan sukan bukan gabungan baik dan kami kecewa atlet Israel tidak dibenarkan bertanding di Malaysia.”

Katanya, IPC sedang mencari tuan rumah baru untuk kejohanan itu yang merupakan pusingan kelayakan bagi Sukan Paralimpik Tokyo 2020.

Kira-kira 600 perenang dari 60 negara dijangka menyertai kejohanan itu, dengan lebih 160 gelaran dunia menjadi rebutan.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.