UiTM siasat dakwaan lebih 1 juta maklumat pelajar, alumni bocor

UiTM siasat dakwaan lebih 1 juta maklumat pelajar, alumni bocor

Naib Canselor Hassan Said berkata siasatan bagi memastikan tiada ada sebarang salah laku kakitangan universiti.

PETALING JAYA: Universiti Teknologi Mara (UiTM) akan menjalankan siasatan dalaman selepas terdapat laporan menyatakan lebih 1 juta maklumat peribadi pelajar dan alumni antara 2000 hingga 2018 bocor dalam talian.

Naib Canselor Datuk Hassan Said berkata, siasatan dalaman dilakukan bagi memastikan tidak ada sebarang salah laku kakitangan UiTM, namun sekiranya berlaku pihak universiti tidak akan teragak-agak mengambil tindakan undang-undang.

“Tangkap layar dipaparkan dalam sebuah laman blog hari ini menunjukkan format maklumat yang tidak digunapakai atau dijana oleh mana-mana sistem dalaman UiTM.

“Ini menunjukkan maklumat tersebut sudah diolah dan dimanipulasi pihak yang tidak bertanggungjawab, seterusnya mengesahkan maklumat ini adalah bukan dijana ekoran daripada pengodaman sistem UiTM.

“UiTM terus yakin sistem sedia ada yang digunakan adalah utuh, selamat dan boleh dipercayai,” katanya dalam kenyataan, kepada FMT.

Laman teknologi, Lowyat.net hari ini melaporkan, data yang bocor itu membabitkan pelajar dari kampus utama iaitu di Shah Alam dan 13 lagi kampus seluruh negara. Turut terjejas pelajar yang sudah mendaftar untuk kursus-kursus UiTM bertauliah di kolej-kolej luar.

Antara kolej yang terjejas adalah Kolej INPENS, Kolej Yayasan Terengganu, Kolej Yayasan Pelajaran Johor, Institut Yayasan Bumiputera Pulau Pinang, Kolej UNITI, Kolej Chermai Jaya, Kolej Lagenda Langkawi and Institut Teknologi Perak.

Maklumat peribadi yang dikatakan bocor membabitkan ID pelajar, nama pelajar, nombor kad pengenalan, alamat, email, kod di kampus, nama kampus, kod program, tahap kursus dan juga nombor telefon bimbit.

Laporan yang memetik sumber itu menyatakan, pencerobohan data ini berlaku antara Februari dan Mac tahun lalu.

Hassan berkata, UiTM memandang serius keselamatan teknologi maklumat dan komunikasi universiti memandangkan terdapat dasar keselamatan ICT yang merangkumi pelbagai komponen termasuklah perlindungan maklumat rahsia rasmi.

“Tahap keselamatan ICT UiTM diyakini setaraf dengan badan dan organisasi setara yang lain di Malaysia, ini dibuktikan dengan penerimaan pensijilan ISMS (Information Security Management System) ISO 27001:2013 oleh SIRIM QAS International Berhad pada 14 Januari 2019,” katanya.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.