
Dalam satu kenyataannya, ia berkata, pengurangan perjawatan ini tidak melibatkan penjawat awam sedia ada.
Ia dilakukan melalui pelbagai kaedah lama antaranya pengoptimuman sumber manusia, penyusunan semula perjawatan bagi elak pertindihan fungsi, serah urus fungsi, penyampaian perkhidmatan alternatif, gabungan teknologi dan pengisian jawatan secara berhemah mengikut keperluan semasa.
Kenyataan itu dikeluarkan susulan laporan Sinar Harian hari ini bahawa 16,000 kakitangan awam dijangka hilang kerja selepas kerajaan memutuskan untuk laksanakan kawalan saiz perkhidmatan awam.
Keputusan itu, katanya, selaras dengan dasar baru kerajaan untuk elak pembaziran dan tingkatkan kecekapan.
Merujuk kepada surat edaran JPA bertajuk Kawalan Saiz Perkhidmatan Awam bertarikh 26 Disember 2018, JPA menjelaskan, kawalan saiz perkhidmatan awam ini dimulakan sejak 2015.
Ia kesinambungan daripada usaha merasionalisasikan saiz perkhidmatan awam yang mula diperkenalkan pada 2008.