
Pengerusi Pakatan Harapan itu berkata ahli Umno sendiri, yang menjadi parti tunjang kepada BN, menolak gabungan itu kerana sudah hilang kepercayaan.
“BN ditolak sebab dipimpin oleh penyangak, sebab itu kita buang Najib dari jawatan perdana menteri,” katanya ketika berceramah di Sungai Koyan hari ini.
“Najib kena buang oleh parti sendiri,” tambahnya, merujuk kepada bekas perdana menteri Datuk Seri Najib Razak.
Sekarang, kata Dr Mahathir, ramai pemimpin Umno sekarang berjumpa dengannya kerana mahu bekerjasama, termasuk Presiden Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi dan Timbalan Presiden Datuk Seri Mohamad Hasan.
Dalam masa yang sama, ramai orang meninggalkan BN untuk bersama PPBM atau parti komponen PH lain, katanya.

“Ramai berduyun-duyun nak masuk PPBM, nak masuk PH. Orang sudah tidak percaya lagi kepada Umno. Umno tidak ada apa-apa lagi,” katanya
“Saya yakin Umno tidak ada masa depan lagi, jadi buat apa pilih mereka?” katanya kepada lebih kurang 1,000 hadirin.
Selain warga Felda, ceramah pengerusi PH ini, yang juga perdana menteri, dihadiri Orang Asli yang didatangkan dengan bas dari kampung-kampung serata Cameron Highlands.
Mereka diberi makanan sebelum meninggalkan majlis. Hadir sama di ceramah hari ini ialah calon PH, M Manogaran.
Dr Mahathir memberitahu Orang Asli bahawa BN meletakkan Ramli Mohd Nor, yang berketurunan Semai-Temiar, sebagai calon bukan kerana memikirkan kebajikan mereka.
Pengerusi PH berkata BN cuba menipu mereka dengan mengambil Orang Asli bertanding.
“Mereka bukan sayang Orang Asli tapi sayang jawatan, sebab itu bertanding,” katanya, sambil memberitahu dia meninggalkan Umno kerana pemimpinnya lebih mengejar wang ringgit.
Sementara itu, Dr Mahathir berkata walaupun Pahang ditadbir BN, belum tentu kerajaan negeri akan menjaga mereka.
“Kerajaan pusat bawah BN pun tak boleh buat apa-apa,” katanya.
“Kita bukan janji apa-apa, cuma nak beritahu kami ada kuasa. BN tiada kuasa, tak boleh buat apa-apa.”
Menurut Dr Mahathir, Umno rosak bawah pimpinan Tun Abdullah Ahmad Badawi, menyebabkan parti itu hilang 5 negeri pada 2008.
“Selepas BN kalah, Abdullah berundur dan Najib naik. Mula-mula saya seronok sebab bapanya, Tun Razak sangat prihatin kepada rakyat, jadi kita ingat anak dia begitu juga. Rupa-rupanya penyangak,” katanya.