Majlis Peguam, Jabatan Penjara perlu bantu pesalah dapatkan peguam buat rayuan

Majlis Peguam, Jabatan Penjara perlu bantu pesalah dapatkan peguam buat rayuan

Mereka yang menjalani hukuman penjara boleh melepasi ujian kelayakan bagi mendapatkan bantuan guaman percuma.

Ramai banduan dinafikan bantuan guaman di Mahkamah Rayuan kerana diabaikan keluarga apabila mereka dipenjarakan. (Gambar Reuters)
PETALING JAYA:
Seorang peguam menggesa pihak berkuasa penjara bekerjasama dengan jawatankuasa peguam negeri bagi memastikan pesalah yang membuat rayuan kepada mahkamah lebih tinggi sewaktu menjalani hukuman penjara memperoleh khidmat perundangan.

K A Ramu berkata, pegawai penjara boleh berhubung dengan jawatankuasa terbabit yang boleh mendapatkan peguam berdaftar di bawah Yayasan Bantuan Guaman Kebangsaan (YBGK) untuk mewakili perayu, terutama mereka yang memohon untuk mengekal atau mengurangkan hukuman.

“Besar kemungkinan mereka yang menjalani hukuman penjara akan melepasi ujian kelayakan bagi mendapatkan bantuan guaman percuma, terutama apabila kes berada di peringkat akhir Mahkamah Rayuan,” katanya kepada FMT.

Ramu merujuk kepada keputusan Mahkamah Rayuan, Selasa lalu, yang mengembalikan hukuman penjara 24 tahun dan sebatan ke atas seorang buruh yang disabitkan 2 kesalahan merogol anak tirinya 4 tahun lalu.

Mahkamah Sesyen Kota Bharu menjatuhkan hukuman 12 tahun penjara dan 10 sebatan ke atas setiap satu sabitan secara berturut-turut terhadap lelaki berusia 50 tahun itu.

K A Ramu.

Bagaimanapun susulan rayuan yang dibuat, Mahkamah Tinggi Kota Bharu memerintahkan lelaki itu dikenakan 15 tahun penjara dengan 10 sebatan bagi setiap kesalahan, tetapi hukuman berjalan serentak.

Kerajaan memfailkan rayuan terhadap hukuman tersebut, dengan lelaki tersebut hadir ke mahkamah tanpa peguam bela.

Ramu, yang juga pengerusi bersama jawatankuasa kecil bantuan guaman YBGK Majlis Peguam Selangor berkata, kebanyakan banduan dinafikan bantuan guaman di Mahkamah Rayuan kerana keluarga biasanya akan mengabaikan mereka apabila mereka dipenjarakan.

“Pegawai penjara boleh memaklumkan kepada jawatankuasa Majlis Peguam peringkat negeri tentang nasib mereka yang masih bergantung kepada rayuan terakhir di Mahkamah Rayuan untuk mengurangkan hukuman atau apabila mereka perlu menjawab rayuan kerajaan,” katanya.

Sementara itu, A Srimurugan meminta Majlis Peguam meminda Akta Profesion Guaman bagi mewajibkan peguam mengambil sekurang-kurangnya satu kes jenayah setahun secara percuma.

“Kita ada 18,000 peguam dan bilangan mereka kian meningkat. Merayu untuk hukuman ringan adalah suatu tugas mudah,” katanya.

Srimurugan berkata, pada masa ini hanya peguam pelatih dikehendaki menjalankan kerja bantuan guaman selama 14 hari sebelum mereka diterima menjadi peguam.

Beliau berkata, Majlis Peguam juga patut menimbangkan cadangan Ketua Hakim Negara, Tan Sri Richard Malanjum supaya peguam di semenanjung mengendalikan 20 kes melibatkan orang miskin dan yang memerlukan setiap tahun bagi membolehkan mereka mendapat akses kepada keadilan.

Chan Hen Hui.

Ketua hakim itu berkata, ini menjadi amalan di Sabah dan Sarawak sejak beberapa tahun lepas dan ia memberi manfaat kepada ramai orang, terutama mereka yang tidak memahami undang-undang.

Peguam Chan Hen Hui berkata, ketua hakim Malaya perlu memastikan majistret berpengalaman dilantik untuk mengetuai mahkamah jenayah kerana mereka lebih memahami keadaan orang miskin dan memerlukan.

Chan merujuk kepada kes seorang ibu 3 anak yang dihukum penjara sehari dan didenda RM1,000 atau 2 bulan penjara selepas beliau mengaku mencuri bahan makanan bernilai RM145.37 di sebuah pasar raya pada 18 Januari.

Kesalahan itu membawa hukuman penjara 10 tahun dan denda.

Katanya, majistret boleh mengenakan hukuman jaminan berkelakuan baik terhadap Eng Siu Khim, yang tidak diwakili peguam, memandangkan ia merupakan kesalahanya yang pertama.

“Mahkamah patut menimbangkan bahawa Eng direman selama 3 hari sebelum beliau dihadapkan ke mahkamah pada Selasa lalu (Jan 22),” katanya.

Chan berkata, berdasarkan rayuan Eng, tampak seperti keluarganya tidak dimaklumkan mengenai penahanannya selepas beliau ditangkap.

Beliau mendakwa sesetengah majistret di Kuala Lumpur dan Selangor hanya mahu menyegerakan penyelesaian kes memandangkan mereka dibebani kerja yang banyak setiap hari.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.