
Menteri Pendidikan, Maszlee Malik berkata kementeriannya ingin memastikan persekitaran pembelajaran yang menyeronokkan, selamat dan positif dapat diwujudkan di mana kesejahteraan sosial dan emosi anak-anak diutamakan.
“Beralih dari (persekitaran yang) berorientasikan peperiksaan kepada sistem yang berorientasikan pertumbuhan di negara yang terlalu terikat dengan kedudukan dan pencapaian (gred), sudah tentu ia bukan (proses) yang mudah,” kata beliau.
Bagaimanapun menurut Maszlee, ia memerlukan perubahan budaya dan juga perubahan minda yang besar.
“Bukan hanya dengan guru kita, tetapi juga dengan ibu bapa, majikan dan masyarakat yang lebih besar.
“Tetapi saya sangat percaya bahawa kita tidak akan bertindak adil kepada anak-anak kita jika kita terus mengharapkan mereka untuk terus hidup di dunia yang mereka tidak bersedia dari segi sosial dan emosi.”
Beliau berkata demikian ketika mengupas topik “Social and Emotional Learning and New Developments in Pedagogies” di Education World Forum di London, semalam.
Maszlee yang julung kali berucap pada forum itu sejak dilantik Mei lalu memberitahu, sebahagian daripada usaha Kementerian Pendidikan adalah membina sistem pendidikan yang bersandarkan kepada nilai termasuk bekerja dengan orang lain di luar sistem pendidikan.
Oleh itu menurut beliau, pembelajaran sosial dan emosi tidak boleh menjadi tanggungjawab sekolah dan guru semata-mata.
“Kami berganding dengan ibu bapa dan NGO lain dalam usaha ini. Ibu bapa, terutamanya, adalah penting untuk ini dan kami mempercepatkan usaha untuk meningkatkan penglibatan ibu bapa dalam pendidikan kanak-kanak.
“Pada masa ini, lebih daripada 90% sekolah di Malaysia mempunyai ibu bapa yang terlibat dalam majoriti acara sekolah,” kata beliau sambil menambah, “(dalam) melangkah ke hadapan, kami merancang untuk menjadikan hubungan ini lebih bermakna.”