
Anuar Ahmad dari Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) berkata saranan itu bagi menjayakan reformasi pendidikan bermula di bilik darjah seperti disebut Menteri Fadhlina Sidek, Jumaat lalu.
Menurut timbalan pengarah Institut Pembangunan dan Kemajuan Inklusif Malaysia (MINDA UKM) itu, murid yang sedikit dalam kelas memberi peluang untuk pengajaran dan pembelajaran berkualiti.

“Bila murid tidak terlalu ramai, maka tidak akan ada lagi yang tercicir dari perhatian guru,” katanya di Facebook.
Dalam masa sama, Anuar berkata kemudahan pembelajaran di bilik darjah juga perlu direformasikan.
“Paling kurang biarlah setiap bilik darjah ada akses internet laju, setiap bilik darjah ada papan pintar dan LCD.
“Bilik darjah juga perlu ada kemudahan asas lebih baik berbanding sekarang. Lampu terang, kipas angin berfungsi, pendingin hawa dan meja serta kerusi,” ujarnya sambil menyifatkan reformasi pendidikan bermula di kelas sebagai idea bai.
“Tetapi bilik darjah itu sendiri mestilah direformasikan dahulu. Kalau tidak, idea sebaik ini akan dikenang rakyat sebagai sekadar ‘slogan kosong’ semata-mata.”
Sempena Hari Guru disambut Jumaat lalu, Fadhlina dipetik berkata pemerkasaan sektor pendidikan perlu bermula dari unit paling kecil iaitu bilik darjah.
Menurutnya, perubahan dan reformasi sistem itu tidak hanya membabitkan perkara dasar pendidikan, sebaliknya berkait perkara asas termasuk interaksi dengan guru di lapangan.
Isu kelas padat pernah dibangkitkan sebelum ini dengan ada sekolah di merekodkan sehingga 50 murid yang menyukarkan proses pembelajaran dan pengajaran.
Bagi mengatasi masalah itu terutama di bandar, kerajaan menerusi Belanjawan 2025 meluluskan pembinaan 44 sekolah, paling banyak dalam tempoh empat tahun terkini.
Kerajaan turut meluluskan RM100 juta bagi pembinaan bilik darjah kabin bagi menangani isu sekolah padat.