
Timbalan Menterinya Dr Lee Boon Chye berkata, perkara itu boleh dilakukan oleh syarikat insurans memandangkan ia juga dilaksanakan di beberapa negara.
“Jumlah pesakit mental di negara kita sudah meningkat. Antara faktornya kerana keadaan yang terlalu tertekan, kurangnya kesedaran rakyat berkenaan dengan mental, dan kesedaran doktor dalam penilaian penyakit mental.
“Jadi kita memang setuju sekiranya penyakit mental itu boleh dimasukkan sebahagian daripada perlindungan di bawah insurans kesihatan,” katanya kepada FMT.
Mengikut statistik, katanya, pesakit mental di negara ini meningkat kepada 29% pada 2015 berbanding hanya 11.2% pada 2006.
Namun jelasnya, keputusan untuk mewujudkan skim insurans itu terletak di bawah Bank Negara Malaysia (BNM) yang secara umumnya diketahui mengawal selia setiap syarikat insurans di negara ini.
“Di sesetengah negara memang ada penyakit mental diletakkan di bawah skim perlindungan insurans.
“Tapi ini bukan di bawah bidang kuasa KKM sebab syarikat insurans dikawal selia di bawah BNM,” katanya.
Ahli Parlimen Klang, Charles Santiago pernah menggesa kerajaan menangani isu syarikat insurans yang tidak berminat menanggung kos rawatan penyakit mental kerana seorang daripada 5 rakyat menderita masalah emosi dan sakit mental.
Beliau berkata, kos rawatan penyakit mental, termasuk perkhidmatan kaunseling dan ubat-ubatan, tidak ditanggung oleh syarikat insurans dan merupakan isu penting kerana kosnya mahal.
“Terdapat langkah yang boleh diambil oleh kerajaan bagi mengatasi masalah kos rawatan penyakit mental. Pertama, skim perlindungan sosial di bawah Pertubuhan Keselamatan Sosial (Perkeso) perlu diperluaskan agar dapat membantu pesakit mental mendapatkan rawatan.
“Kedua, Kementerian Sumber Manusia perlu menggubal undang-undang baru di bawah Perkeso bagi memberi ruang kepada pekerja yang menghidap penyakit mental mendapatkan rawatan daripada hospital,” katanya kepada FMT.