NGO dakwa peneroka dihimpit hutang akibat kelemahan Felda

NGO dakwa peneroka dihimpit hutang akibat kelemahan Felda

Pertubuhan Generasi Warisan Kebangsaan mendakwa Felda Technoplant Sdn Bhd gagal menguruskan ladang peneroka dengan baik menyebabkan mereka terpaksa berhutang untuk jangka panjang sehingga pokok sawit mereka berbuah.

Pertubuhan Generasi Warisan Kebangsaan mendakwa kelemahan Felda Technoplant menguruskan ladang peneroka menyebabkan ada peneroka yang terpaksa menunggu 5 tahun untuk mendapatkan hasil. (Gambar Bernama)
PETALING JAYA:
Sebuah badan bukan kerajaan (NGO) yang memperjuangkan isu Felda mendakwa peneroka terpaksa menanggung hutang bagi jangka lebih lama akibat kelemahan Felda Technoplant Sdn Bhd menguruskan ladang golongan itu.

Pengerusi Pertubuhan Generasi Warisan Kebangsaan, Roslan Md Isa mendakwa Felda Technoplant gagal menguruskan ladang peneroka dengan baik menyebabkan mereka terpaksa berhutang untuk jangka panjang sehingga pokok sawit mereka berbuah.

“Sepatutnya dalam 3 atau 4 tahun ladang peneroka boleh dapat hasil, tetapi disebabkan kelemahan pengurusan, kadangkala terpaksa tangguh sehingga 2 tahun lagi.

“Kegagalan Felda mengurus sehingga pokok terbiar, semak-samun, baja tak cukup menyebabkan peneroka terikat hutang yang lama,” katanya yang mewakili hampir 1,000 ahli generasi pertama hingga ke-3, kepada FMT.

Pada 14 Januari lalu, ahli Parlimen Iskandar Puteri, Lim Kit Siang mendakwa kerajaan Barisan Nasional (BN) mengikat peneroka Felda dengan hutang dan pinjaman mudah, menyebabkan mereka terpaksa bergantung kepada bantuan kerajaan.

Katanya, kerajaan terdahulu tidak melatih peneroka cara pengurusan kewangan dengan bijak menyebabkan mereka menanggung beban pinjaman besar dengan jadual pembayaran tidak sekata dan faedah.

Veteran DAP itu berkata, dasar pinjaman mudah disengajakan bagi mengikat peneroka kepada kehidupan berhutang yang akan diwarisi generasi seterusnya sehingga mewujudkan kebergantungan kepada bantuan kerajaan.

Beliau berkata, Pakatan Harapan (PH) sukar memasuki penempatan Felda sebelum ini kerana peneroka risau dengan kelangsungan elaun sara hidup jika jentera pembangkang memasuki kampung mereka.

Pendahuluan sara hidup

Mohamad Razali Ithnain

Peneroka dari Felda Jengka 6 di Pahang, Mohamad Razali Ithnain berkata peneroka biasanya diberikan 2 pilihan, sama ada menguruskan ladang sendiri atau menyerahkannya kepada Felda.

“Apabila peneroka menyerahkan ladang mereka untuk diuruskan Felda, mereka akan menerima bayaran pendahuluan sara hidup sekitar RM1,000 hingga RM1,500 sebulan,” katanya kepada FMT.

Beliau berkata, peneroka terpaksa membayar balik pendahuluan sara hidup itu kepada Felda selepas pokok mereka mula berbuah dalam 3 tahun, tetapi ada yang terpaksa menunggu sehingga 5 tahun untuk mendapatkan hasil.

Katanya, pendahuluan itu tidak termasuk kos penjagaan dan pembersihan ladang oleh Felda Technoplant.

“Kebanyakan peneroka tidak tahu bagaimana Felda menguruskan kewangan mereka disebabkan penyata juga tidak diberikan.”

Hutang tak jelas

Roslan Md Isa

Selain perlu membayar balik pendahuluan sara hidup yang diterima peneroka setiap bulan, Roslan mendakwa ada peneroka yang turut dibebani hutang tidak jelas daripada Felda sehingga mencecah RM100,000.

“Hutang pembersihan, penjagaan, baja dan akhir sekali campur dengan bayaran sara hidup boleh mencecah lebih RM80,000.”

Beliau berkata, kerajaan PH sepatutnya memikirkan cara lebih baik untuk mengurangkan hutang peneroka, bukannya menyalahkan kerajaan terdahulu dengan masalah hutang mereka.

“Nilai semua hutang tak munasabah. Tetapi, hutang bayaran pendahuluan sara hidup memang perlu bayar sebab sudah berhutang.

“Tetapi, hutang lain seperti kos pembajaan, penjagaan ladang dan pembersihan ladang perlu dikaji balik dan terangkan kepada peneroka dengan lebih jelas.”

Kadar faedah tinggi

Abdul Ghani Ahmad

Peneroka dari Felda Sungai Lui di Negeri Sembilan, Abdul Ghani Ahmad, 58, mendakwa Felda Technoplant mengenakan kadar faedah tinggi sehingga 6.25% untuk bayaran balik pendahuluan sara hidup itu.

“Itu tidak termasuk hutang kos pembajaan, pembersihan dan penjagaan ladang oleh Felda.”

 

Insentif kerajaan

Peneroka dari Felda Keratong 8 di Pahang, Rabidin Kasmawi pula mendakwa Felda menyekat pelbagai insentif disediakan kerajaan untuk peneroka kerana beliau menguruskan ladang sawitnya sendiri.

“Macam saya urus sendiri, tetapi akan ada sekatan lain pula dari Felda, seperti tak dapat insentif dari Felda, tetapi tidak ada hutang.

“Kita tidak tahu salah siapa. Saya sudah ajukan masalah ini kepada Felda dan Kementerian Hal Ehwal Ekonomi,” kata lelaki berusia 66 tahun itu.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.