
“Dalam parti-parti itu sendiri, mungkin terdapat pertelingkahan untuk mendapatkan jawatan dan sebagainya, tetapi ia tidak menjejaskan gabungan PH. Kami mempunyai 4 parti dan satu bukan dalam gabungan, tetapi dalam kerajaan (Warisan).
“Keempat-empat parti ini sama kuat dan kami perlu mencapai kata sepakat apabila ingin membuat sebarang keputusan…mungkin terdapat perbezaan, tetapi kami boleh menerimanya dan sehingga kini kami berfungsi dengan baik dalam kerajaan,” katanya dalam sesi dialog bersama rakyat Malaysia yang tinggal di Austria dan Republik Slovak di sini, malam tadi.
Beliau menjawab soalan sama ada PH berdepan perbalahan selepas dipilih menjadi kerajaan sejak Mei tahun lepas.
PH terdiri daripada 4 parti iaitu PKR, DAP, PPBM dan Amanah.
Menjawab soalan lain, Dr Mahathir berkata, tenaga nuklear tidak akan menjadi sumber tenaga bagi Malaysia sehingga pakar dan saintis mencari penyelesaian dalam merawat sisa nuklear serta membalikkan proses pengekstrakan radiasi supaya ia tidak menjejaskan kesihatan manusia.
Perdana menteri berkata, sisa dijana nuklear adalah berbahaya dan cuba menyingkirkannya adalah satu masalah.
“Kerana sehingga kini, sains tidak berjaya membalikkan proses itu, anda boleh mengaktifkan bahan untuk berfungsi dan mempunyai radiasi (untuk tenaga, tetapi) tidak ada cara untuk membalikkannya.
“Jadi, sehingga itu, kita tidak akan menerima loji tenaga nuklear. Tetapi, apabila tiba masanya, ketika mereka (pakar dan sains) mampu merawat sisa nuklear dan ia selamat (untuk manusia) sudah tentu kita akan mempertimbangkan semula…tetapi pada masa ini tidak.”
Beliau menjawab soalan sama ada Malaysia mempunyai rancangan alternatif untuk kuasa, selain sumber tenaga sedia ada di dalam negara.
Dr Mahathir berkata, pada satu ketika, Malaysia menjual “amang”, hasil sampingan industri perlombongan timah kepada Jepun yang menggunakan kuasa radioaktif produk itu untuk industri televisyen berwarna negara itu.
“Tetapi, kini TV semuanya LED dan mereka (Jepun) tidak lagi menggunakan bahan itu. Bahan tersebut berbahaya dan kami mempunyai perdebatan panjang dengan syarikat Jepun dan akhirnya kami telah menyediakan tanah seluas satu batu persegi untuk menanam sisa itu.”
Mengenai rasuah, Dr Mahathir berkata, pada masa ini, kerajaan dilihat bebas rasuah dan tidak ada pihak mengatakan pentadbirannya korup.
“Saya tidak boleh mengatakan kita akan bebas rasuah pada masa hadapan, tetapi pada masa ini orang kata kita tidak korup.”
Kira-kira 100 orang menghadiri sesi dialog itu, termasuk pegawai dari Kedutaan Malaysia.
Duta Besar Malaysia di Austria, Datuk Ganeson Sivagurunathan menjadi moderator sesi itu yang mengambil kira-kira sejam.
Turut hadir isteri perdana menteri, Tun Dr Siti Hasmah Ali dan Timbalan Menteri Luar, Datuk Marzuki Yahya. Perdana menteri sedang melakukan lawatan kerja 3 hari ke Austria.