Kenderaan terhumban dari Jambatan Pulau Pinang ke laut ditemui

Kenderaan terhumban dari Jambatan Pulau Pinang ke laut ditemui

Polis berkata, usaha membawa naik kenderaan yang ditemui berhampiran tiang 34 Jambatan Pulau Pinang itu mungkin mengambil masa.

Mazda CX-5 itu terhumban ke dalam laut, selepas terbabit kemalangan dengan sebuah kereta di Jambatan Pulau Pinang awal pagi semalam.
GEORGE TOWN:
Kenderaan utiliti sukan (SUV) Mazda CX-5 yang terhumban ke dalam laut, selepas terbabit kemalangan dengan sebuah kereta di KM4 Jambatan Pulau Pinang berjaya ditemui kira-kira 4 petang tadi.

Ketua Polis Daerah Seberang Perai Tengah, ACP Nik Ros Azhan Nik Abdul Hamid berkata kenderaan itu ditemui di kedalaman kira-kira 15m di kawasan KM4 Jambatan Pulau Pinang oleh pasukan penyelam.

“Kereta itu ditemui berhampiran tiang 34 Jambatan Pulau Pinang, pasukan penyelam akan turun sekali lagi ke lokasi penemuan kereta itu bagi melihat keadaan sebenar kenderaan dan pemandu berkenaan,” katanya di sini, hari ini.

Beliau berkata, usaha membawa naik kereta itu sedang dijalankan dan mungkin mengambil masa.

“Kereta itu akan diapungkan sebelum dinaikkan menggunakan kren menerusi Jambatan Pulau Pinang.”

Dalam kemalangan 2.54 pagi semalam, SUV itu terhumban ke dalam laut selepas terlibat kemalangan dengan sebuah kereta di Jambatan Pulau Pinang menghala Perai.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.