Kementerian Pendidikan: Rundingan terus hanya untuk kontrak buku teks sekolah rendah

Kementerian Pendidikan: Rundingan terus hanya untuk kontrak buku teks sekolah rendah

Kementerian itu berkata, kontrak bagi buku teks Sains dan Matematik di bawah Program Dwibahasa untuk Tingkatan 3 diberikan melalui tender terbuka.

Kementerian Pendidikan berkata, Majlis Tindakan Negara pada 1974 membuat keputusan DBP bertanggungawab menerbitkan semua buku teks sekolah rendah. (Gambar Bernama)
PETALING JAYA:
Kementerian Pendidikan berkata, hanya buku teks sekolah rendah bagi subjek Sains dan Matematik di bawah Program Dwibahasa (DLP) diberikan melalui rundingan terus.

Kementerian itu berkata, kontrak mencetak 266,110 naskhah buku teks Sains dan Matematik tahun 3 diberikan kepada Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP), sejajar keputusan Majlis Tindakan Negara 1974, iaitu DBP bertanggungawab menerbitkan semua buku teks sekolah rendah.

Katanya, penerbitan 108,680 naskhah buku teks Sains dan Matematik DLP peringkat sekolah menengah pula dibuat melalui tender terbuka.

“Oleh itu, tidak benar sama sekali anggapan semua penerbitan buku teks DLP, terutama yang membabitkan penerbit swasta dilaksanakan secara rundingan terus,” kata Kementerian Pendidikan dalam kenyataan hari ini,

Kenyataan itu menyusul kenyataan Persatuan Pengusaha Percetakan Melayu Malaysia mempertikaikan tindakan kerajaan memberi kelulusan khas untuk permohonan perolehan buku teks Tingkatan 3 bagi subjek Sains dan Matematik melalui rundingan terus kepada sebuah syarikat penerbitan buku.

Pada 13 Januari lalu, Kementerian Kewangan dilapor memberi kelulusan khas kepada mana-mana kementerian atau agensi membuat rundingan terus bagi perolehan buku teks itu pada 18 September lalu, bagi memenuhi keperluan pelajar secepat mungkin.

Ia susulan laporan media yang buku teks DLP untuk semua sekolah menawarkan mata pelajaran Matematik dan Sains Tingkatan 3, kini dalam proses penerbitan dan akan mula dibekalkan Mac nanti.

Kementerian Pendidikan berkata, kenyataan Kementerian Kewangan memberi lampu hijau untuk rundingan terus itu merujuk penerbitan buku teks sekolah rendah.

Katanya, iklan tender terbuka untuk buku Sains dan Matematik Tingkatan 3 sudah disiarkan di portal e-Perolehan seperti amalan biasa.

Kementerian itu berkata, semua proses tender dilakukan secara telus dan berintegriti serta pemilihan tender membabitkan 3 jawatankuasa sebelum ia dipertimbangkan Lembaga Perolehan.

Katanya, Lembaga Perolehan dipengerusikan timbalan ketua setiausaha (Pembangunan) Kementerian Pendidikan yang turut dianggotai wakil Kementerian Kewangan, Jabatan Kerja Raya dan 3 setiausaha bahagian Kementerian Pendidikan.

“Kementerian juga berharap penjelasan ini akan memberi gambaran sebenar berkenaan proses penerbitan buku teks DLP,” katanya sambil menambah ia mengambil semua tindakan bagi memastikan buku teks itu boleh dibekalkan secepat mungkin.

Kementerian Pendidikan dilaporkan berkata, buku teks Sains dan Matematik tidak dapat disediakan pada awal sesi persekolahan ini, susulan perubahan untuk menambah baik sistem perolehan dan mengelakkan sistem rundingan terus sejak pertengahan 2018.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.