Pakar hartanah ingatkan kerajaan tidak cukai pemilik warga emas yang jual rumah

Pakar hartanah ingatkan kerajaan tidak cukai pemilik warga emas yang jual rumah

Sebelum ini RPGT berkadar sifar dikenakan ke atas pemilik yang menjual rumah mereka selepas 5 tahun.

Bermula tahun ini, pemilik hartanah perlu membayar 5% daripada keuntungan yang diperolehi daripada penjualan hartanah yang dimiliki selama 5 tahun atau lebih. (Gambar Bernama)
PETALING JAYA:
Seorang pakar hartanah kanan menggesa kerajaan supaya mengecualikan warga emas daripada Cukai Keuntungan Harta Tanah (RPGT) dengan berkata, adalah tidak adil untuk membebankan golongan itu apabila mereka memutuskan mahu menjual hartanah yang telah dimiliki untuk tempoh yang panjang.

Ernest Cheong, yang mempunyai pengalaman selama 40 tahun dalam pasaran hartanah berkata, kerajaan tidak mempunyai sebab untuk mencukai pemilik rumah berkenaan.

“Mereka menjual rumah kerana keperluan atau sebab lain yang kita mungkin tidak tahu.

“Memiliki dan menyimpan hartanah selama 20 tahun atau lebih dilihat oleh sesetengah orang sebagai satu bentuk simpanan persaraan dan kerajaan tidak harus menghukum warga emas ini,” katanya kepada FMT.

Bermula tahun ini, pemilik hartanah perlu membayar 5% daripada keuntungan yang mereka perolehi daripada penjualan hartanah yang dimiliki selama 5 tahun atau lebih.

Warga asing perlu membayar 10% daripada keuntungan yang mereka perolehi.

Sebelum ini, RPGT berkadar sifar dikenakan ke atas pemilik yang menjual rumah mereka selepas 5 tahun.

RPGT merupakan cukai pelbagai peringkat dari 15% hingga 30% bagi hartanah yang dijual dalam tempoh 1 ke 5 tahun dari tarikh pembelian.

Ernest Cheong

Cukai itu diperkenalkan pada 1970-an bagi menghalang spekulator daripada membeli dan menjual hartanah dalam masa singkat, yang menyebabkan harga meningkat.

Kadar RPGT 5% disemak semula dalam Belanjawan 2019, satu keputusan yang tidak diterima baik oleh persatuan pembeli rumah.

Setiausaha Kehormat Persatuan Pembeli Rumah Kebangsaan (HBA), Chang Kim Loong berkata, mereka telah mengemukakan rayuan kepada kerajaan supaya menimbang semula keputusan mengenakan cukai ke atas penjual yang menjual hartanah selepas 5 tahun.

Dalam pada itu, Chong menolak cadangan persatuan pemaju perumahan Sarawak untuk mengenakan RPGT berkadar sifar ke atas rakyat Malaysia dan pemastautin tetap apabila mereka menjual hartanah.

“Kita perlu membayar cukai kerana tanpa cukai bagaimana YB Lim Guan Eng mahu mengurus negara,” katanya, merujuk kepada menteri kewangan.

“Kita akhirnya mungkin terpaksa meminjam daripada negara lain untuk mengurus hutang negara,” katanya.

Cheong mengingatkan bahawa RPGT menyasarkan spekulator hartanah, bukannya pemilik rumah sebenar.

“Apakah yang akan berlaku ke atas harga hartanah kita sekiranya RPGT berkadar sifar? Bolehkah seseorang yang berpendapatan RM4,000 membeli sebuah rumah sepanjang hayatnya?”, soal Cheong.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.