
Ketua Wanita PPBM Datuk Seri Rina Harun berkata pertimbangan itu wajar diberikan berikutan bilangan pengundi wanita dan lelaki adalah sama rata selain mempunyai calon wanita yang layak dan berkaliber.
“Bukan sahaja di Semenyih, malah di seluruh Malaysia 50% pengundi adalah wanita,” katanya kepada pemberita selepas merasmikan Dialog Bersama Usahawan Wanita Malaysia: Wanita Pemacu Ekonomi Negara hari ini.
Rina berkata pihaknya sudah mengemukakan senarai calon namun menyerahkan kepada pucuk pimpinan tertinggi parti untuk membuat penilaian.
“Buat masa sekarang kita belum lagi mengadakan mesyuarat di peringkat kepimpinan. Tun Dr Mahathir Mohamad juga masih di luar negara,” katanya.
Mengulas lanjut, Rina berkata siapa pun calon yang terpilih, pihaknya akan memberi kerjasama dan sokongan penuh dalam usaha mempertahankan kerusi tersebut.
“Jentera Wanita telah pun digerakkan…jumlah jentera digerakkan dari seluruh negara namun akan mengikut kesesuaian kawasan Semenyih itu sendiri,” katanya.
PRK DUN Semenyih akan diadakan pada 2 Mac dan penamaan calon ditetapkan pada 16 Februari, manakala hari mengundi awal pada 26 Februari.
PRK diadakan berikutan kematian penyandangnya, Bakhtiar Mohd Nor, 57, pada 11 Januari lepas akibat serangan jantung.
Pada pilihan raya umum lepas, Bakhtiar dari PPBM memperoleh 23,428 undi menewaskan 3 calon lain, Datuk Johan Abd Aziz (BN), Mad Shahmidur Mat Kosim (PAS) dan S Arutchelvan (PSM) dengan majoriti 8,964 undi.