
Pertubuhan Generasi Aspirasi Pemimpin Wanita Malaysia (GAP.MY) berkata calon wanita hanya mewakili sekitar 11.9% daripada keseluruhan calon iaitu seramai 71 calon berbanding 525 calon lelaki, dan jumlah itu amat membimbangkan.
Bagaimanapun, pertubuhan itu mengakui ada peningkatan positif berbanding PRN pada 2020 di mana seramai 43 wanita bertanding daripada 447 calon atau hanya 9.6%.
Katanya, penilaian semula yang mendalam perlu dibuat terhadap keberkesanan usaha pemerkasaan wanita dalam struktur politik Sabah
“GAP.MY menyeru seluruh rakyat Sabah khususnya pengundi wanita untuk memberikan sokongan kepada calon-calon wanita ini.
“Inilah masanya suara wanita diangkat ke meja rundingan serta memastikan dasar-dasar negeri Sabah lebih inklusif dan mencerminkan keperluan sebenar masyarakat. Wanita bukan sekadar simbol penyertaan tetapi pembuat dasar dan pemangkin perubahan,” katanya dalam kenyataan.
Tambahnya, PRN Sabah merupakan penanda aras awal bagi pilihan raya akan datang, termasuk pilihan raya umum.
Mengulas lanjut, GAP.MY berkata komitmen terhadap kuota minimum 30% wanita perlu diterjemahkan ke dalam tindakan sebenar oleh semua parti politik.
“Latihan kepimpinan, pembangunan calon, dan ruang penyertaan wanita mesti diperkukuh secara berterusan,” katanya.
Semalam, Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) mengesahkan bahawa sejumlah 596 calon bertanding dalam PRN Sabah ke-17.
Seramai 1,784,843 pengundi Sabah layak mengundi. Pengundian awal akan diadakan pada 25 Nov manakala hari pengundian adalah pada 29 Nov.