Skandal 1MDB akan ditutup, wang tidak dapat jika BN menang, kata Anwar

Skandal 1MDB akan ditutup, wang tidak dapat jika BN menang, kata Anwar

Penduduk bagaimanapun datang untuk mendengar ceramah Anwar, bukan menyokong PH.

Presiden PKR, Anwar Ibrahim berkata, BN juga akan menutup semua skandal lain jika ia menang, tidak seperti kerajaan PH yang mendedahkannya.
CAMERON HIGHLANDS:
Negara tidak akan mendapat balik wang berkait skandal 1MDB jika Barisan Nasiobal (BN) kekal memerintah Putrajaya selepas pilihan raya umum 9 Mei lalu, kata Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Presiden PKR itu berkata, BN juga akan menutup segala skandal lain jika ia kekal menang tidak seperti kerajaan Pakatn Harapan (PH) yang mendedahkannya.

“Pengerusi Goldman Sachs yang terlibat dalam 1MDB kata, kami minta maaf kepada rakyat Malaysia kerana terlibat dalam ‘perompakan’ wang 1MDB.

“Mereka mengaku, minta maaf kepada Malaysia. Lim Guan Eng tuntut duit itu dan Goldman Sachs mesti pulangkannya kepada rakyat Malaysia.

“Kalau PH tak menang Mei dulu, saudara ingat dapat balik duit itu? Kes akan tutup. Saya mintaklah kawan-kawan dengar kerana ada orang akan cakap tak ada bukti. Fitnah. Bacalah fakta, baca perjanjian.

“Ini di peringkat antarabangsa, kalau di Malaysia boleh tutup. Ini di Amerika Syarikat dan Switzerland mana boleh tutup,” katanya ketika berceramah di Felda Sungai Koyan 1, dekat sini, malam tadi.

Anwar mengulas kenyataan Ketua Pegawai Eksekutif Goldman Sachs, David Solomon pada Rabu yang memohon maaf kepada rakyat Malaysia kerana peranan bekas pegawai bank itu, Tim Leissner dalam skandal 1MDB, tetapi berkata bank terbabit melakukan urusan sewajarnya bagi setiap transaksi.

Solomon juga berkata, Goldman sedang disiasat oleh pihak berkuasa Malaysia dan Jabatan Kehakiman AS (DoJ) atas peranannya sebagai penaja jamin dan pengatur 3 jualan bon yang mengumpulkan AS$6.5 bilion untuk 1MDB.

Pendakwa raya AS pada tahun lalu mendakwa 2 bekas pegawai Goldman kerana mencuri berbilion ringgit daripada 1MDB.

“Sangat jelas rakyat Malaysia ditipu oleh banyak individu, termasuk anggota tertinggi kerajaan terdahulu,” kata Solomon.

Hampir 300 orang menghadiri ceramah perdana yang turut dihadiri oleh Lim Kit Siang, Lim Guan Eng, Datuk Salahuddin Ayub, Datuk Seri Mujahid Yusof Rawa, Gobind Singh, dan Pengerusi PKR Pahang, Fuziah Salleh, dalam usaha pakatan politik itu merampas kerusi Parlimen Cameron Highlands daripada BN dalam pilihan raya kecil kawasan itu pada 26 Jan ini.

Penduduk datang untuk dengar ceramah Anwar

Beberapa peneroka Felda di situ yang ditemui berkata, kehadiran mereka ke ceramah itu bukan untuk menyokong PH atau calon PH, sebaliknya ingin mendengar ceramah Anwar.

“Saya datang nak tengok Anwar sahaja, bukan nak sokong calon PH sebab calon itu daripada DAP,” kata penduduk, Yusof Rahman.

Seorang lagi penduduk yang hadir berkata, beliau berharap Anwar diangkat sebagai perdana menteri selepas 2 tahun seperti dijanjikan Tun Dr Mahathir Mohamad.

“Saya harap Dr Mahathir tunai janji beliau memberi laluan kepada Anwar menjadi perdana menteri sebaik sahaja cukup tempoh 2 tahun. Kita mahu pemimpin baru jadi perdana menteri.

“Kali ini kami tidak tahu nak undi calon PH ke tidak. Kami geram terhadap Tun Mahathir jadi perdana menteri tidak tunaikan janji. Tol belum turun, harga barang naik, telur naik, kelapa sawit makin murah, minyak adalah turun, tapi itu kami jangka tidak lama akan naik balik,” kata Abdul Majid Abdullah.

Penganjur mendakwa ceramah di Felda Sungai Koyan 1 menyaksikan kehadiran paling besar sejak kempen PRK bermula 12 Jan lalu

Bagi seorang lagi penduduk Karim Hassan, keterujaan beliau hadir ke ceramah perdana PH itu kerana ia merupakan kali pertama PH mengadakan ceramah besar di kawasan berkenaan selepas menguasai Putrajaya.

“Seingat saya ini ceramah pertama PH di Felda Sungai Koyan yang dihadiri pemimpin utamanya,” kata beliau.

Penganjur mendakwa ceramah berkenaan menyaksikan kehadiran paling besar sejak kempen PRK Cameron Highlands bermula 12 Jan lalu.

PH mempertaruhkan M Manogaran, sementara BN meletakkan calon Orang Asli dan bekas pegawai kanan polis, Ramli Mohd Nor.

PRK dijadualkan 26 Jan depan itu juga menyaksikan saingan daripada 2 calon Bebas, iaitu bekas pensyarah, Sallehuddin Ab Talib dan petani di Lembah Bertam, Wong Seng Wee.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.