
Sahol bagaimanapun berkata, usul berkenaan hanya boleh dibawa 10 hingga 15 tahun akan datang bukannya pada ketika ini kerana tidak ia sesuai memandangkan terdapat ramai pelajar Melayu dan Bumiputera yang masih memerlukan bantuan.
“Tunggulah 2 atau 3 pilihan raya akan datang nanti barulah bawa semula usul ini. Menurut hemat saya, berdasarkan perbualan dengan pelajar, sebenarnya kita masih tidak bersedia (melakukannya), hatta dalam tempoh satu pilihan raya lagi.
“Selepas itu boleh buat perancangan untuk program ijazah pertama dalam masa 10 atau 20 tahun lagi.
“Kalau umur panjang, saya sendiri akan bawa usul berkenaan, tetapi bukan sekarang. Ini kerana saya lihat ramai rakyat Sabah dan Sarawak dan pelajar Melayu dari kawasan kampung masih tercicir,” katanya kepada FMT.
Sebelum ini, Tan Sri Arshad Ayub yang merupakan pengarah pertama institusi berkenaan berkata, pelajar bukan Bumiputera boleh diterima belajar di pusat pengajian itu, tetapi hanya untuk pengajian pasca siswazah.
“Jika anda bertanya sama ada pelajar bukan-Melayu harus dibenarkan pergi ke UiTM, pada pandangan saya, di peringkat ijazah sarjana, graduan sepatutnya mampu bersaing dengan pelajar pelbagai bangsa,” kata Arshad.
Sahol berkata, perubahan drastik seperti itu tidak wajar dilakukan dalam waktu singkat kerana ia bukan sahaja akan mengguris hati orang Melayu dan Bumiputera yang bimbang mengenai hak mereka akan terhapus, tetapi menutup peluang anggota masyarakat yang tertinggal untuk melanjutkan pelajaran ke peringkat lebih tinggi.
“Sekarang kita kurang bersedia. Keputusan membuka UiTM seharusnya tidak dibuat oleh ahli politik atau menteri, sebaliknya diputuskan sendiri oleh orang Melayu dan Bumiputera Sabah dan Sarawak.
“Kena fikir panjang sebelum bertindak, bukannya sekadar membawa isu ini sebagai isu popular. Sekiranya UiTM dibuka pada ketika ini, mesti orang Melayu dan Bumiputera terasa dan keharmonian dalam negara akan tergugat,” katanya.
Katanya, ahli politik perlu memainkan peranan dan berfikir dengan mendalam sebelum melontarkan apa-apa idea dan pandangan berkaitan asas kenegaraan dan masyarakat.
“Kalau orang politik lebih berhati-hati dalam isu seperti ini keadaan dalam kalangan masyarakat tidak menjadi masalah. Malangnya, kadang-kala ada yang mengapi-apikan isu seperti ini. Tidak semua orang politik bertanggungjawab,” katanya.