
Keluarga Rahimi berketurunan Hazara, sebuah etnik minoriti bermazhab Syiah di tengah Afhganistan. Pada 2015 keganasan yang dilakukan terhadap mereka oleh kumpulan majoriti Pashtun yang bermazbab Sunni mencapai puncak baru yang tidak pernah dialami sebelum itu.
Layanan buruk dan ganas bukanlah asing bagi kelompok Hazara. Mereka diburu, dijual sebagai hamba dan dibunuh sejak sekian lama. Bagaimanapun pada pertengahan 1990-an selepas Taliban mengisytiharkan bahawa “kelompok Hazara bukan Muslim, mereka boleh dibunuh”, mereka tidak lagi mempunyai apa-apa perlindungan.
Walaupun dengan jumlah kematian semakin meningkat, ramai daripada anggota kelompok Hazara terus tinggal di tanah air mereka.
Namun begitu, pada Nov 2015, sebuah kumpulan yang mengisytiharkan kesetiaan kepada IS menculik dan membunuh 7 orang dari etnik Hazara, termasuk wanita dan kanak-kanak. Pada saat itu, keluarga Rahimi menyedari mereka hanya mempunyai satu daripada 2 pilihan, iaitu sama ada melarikan diri atau dibunuh.
Guli menceritakan pengalaman keluarganya kepada FMT dalam satu temu bual eksklusif.
“Sebelum melarikan diri, kami berhadapan banyak masalah,” katanya. “Keadaan terlalu berbahaya buat kami. Kami tidak tahu sama ada kami akan hidup esok. Kami tidak boleh terus mempertaruhkan nyawa anak-anak.”
Kelompok Hazara umumnya melarikan diri ke negara Barat untuk mencari perlindungan, tetapi Guli dan suaminya mencari perlindungan di Malaysia.
“Untuk sampai ke Malaysia, kami perlu berjalan kaki melalui selatan Thai. Ia pengalaman yang sangat menakutkan, terutamanya anak-anak kerana kami tiada pengalaman di hutan. Namun begitu, hakikat bahawa kami tidak lagi berada di Afghanistan menguatkan semangat kami, selain menyedari kami dalam perjalanan menuju keselamatan di Malaysia.”
Mereka berjaya tiba di Kuala Lumpur yang kini menjadi tempat tinggal keluarga itu.
Mereka kini selamat, tetapi kehidupan tidaklah semudah yang diharapkan. Pelarian Afghanistan di negara ini berdepan masalah pekerjaan, persekolahan dan kelangsungan hidup.
“Apabila kami mula-mula tiba, suami sukar mendapat pekerjaan tetap. Beliau mencuci rumah, tetapi mereka tidak membayar upah. Kadang-undang beliau mendapat kerja di restoran, tetapi polis akan datang dan memberitahu beliau tidak dibenarkan bekerja di situ.”
Setelah lama mencari, Taher mendapat kerja dalam kalangan komuniti Afghanistan itu sendiri. Melalui pekerjaan Taher, Guli berkesempatan menemui pelarian wanita Afghanistan lain. Sesetengah mereka anak yatim, atau ibu tunggal yang menjadikan hidup mereka semakin sukar.
Guli dan pelarian wanita lain mula membuat barangan etnik untuk dijual di pasar di seluruh Kuala Lumpur. Bagi ramai daripada mereka, ia merupakan pengalaman baru, selain daripada menjadi suri rumah.
“Ia peluang baik untuk kami,” kata Guli, kini 29. “Di Afghanistan, wanita tidak boleh bekerja dan tidak ke sekolah.”
Nov lepas, Guli membuka perniagaannya sendiri, Guli Poncho. Beliau membeli fabrik di jualan murah dan mencipta desain serta menjahit pelbagai variasi poncho tradisional Afghanistan.
“Saya gunakan Fcebook dan Instagram bagi mencari bazar untuk menjual poncho saya,” katanya. “Saya tidak miliki kedai dalam talian kerana saya tidak mempunyai akaun bank. Sukar bagi seorang pelarian mendapatkan perkara begitu.”
Guli dan Taher mempunyai 2 anak. Anak lelaki mereka terlalu muda untuk ke sekolah. Persekolahan anak perempuan mereka, berusia 9 tahun, ternyata mencabar.
Tidak seperti pelarian Rohingya yang mempunyai sekolah khusus untuk mereka di Malaysia, kanak-kanak pelarian Afghanistan tidak memiliki sekolah sendiri. Justeru anak Guli, Sahar menghadiri sekolah umum untuk pelarian.
Guli dan Taher kini berhadapan masalah yang tidak dijangka: Sahar kerap dibuli di sekolah. Selepas melalui masalah hidup-mati di Afghanistan, perbuatan buli di sekolah mungkin kelihatan remeh. Namun begitu, banyak ibu bapa boleh memahami perasaan tidak boleh berbuat apa-apa apabila anak mereka tidak berminat ke sekolah.
“Mereka mentertawakannya,” kata Guli sedih. “Mereka memanggilnya pengemis Afghan dan panggilan buruk lain. Itu tidak adil. Dia melalui semua ini dan berkemungkinan besar tidak akan berjumpa saudara mara atau kawan-kawannya lagi. Dia bersemangat mahu bersekolah dan mendapat kawan baru, tetapi sekarang dia sedih, sedangkan dia patut gembira. Kami tidak pasti nak buat apa.”
“Sebagai pelarian Afghanistan, kehidupan kami di sini boleh menjadi sukar,” katanya. Kemudian beliau tersenyum. “Tetapi saya bersyukur kerana pada setiap hari saya tahu bahawa keluarga saya tidak akan dibunuh, dan itu paling penting.”